Sistem AP didakwa antara punca utama harga makanan melonjak

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa merombak sistem Approved Permit (AP) untuk mengimport makanan dengan segera kerana ia menjadi antara punca utama menyebabkan harga makanan asas melonjak.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, merombak sistem itu merupakan langkah pertama harus diambil kerajaan jika benar mempunyai kesungguhan politik (political will) dalam menangani beban kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, memandangkan hampir 60 peratus makanan untuk Malaysia diimport dari luar negara, dengan kos import sebanyak RM55.5 bilion pada tahun 2020, liberalisasi sistem AP akan menguntungkan rakyat.

"Sistem AP diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional hanya menguntungkan sebilangan kecil pihak diberikan AP, tetapi golongan ini tidak menyumbangkan nilai tambah signifikan untuk sektor agro-makanan negara.

"Menerusi sistem itu, hanya pihak mempunyai AP boleh mengimport makanan asas termasuk beras, ayam, sayur-sayuran dan kelapa untuk dijual kepada pemborong dan peruncit.

"Golongan ini membuat keuntungan atas angin tetapi realitinya keuntungan ini dibayar rakyat Malaysia, maka kerajaan harus mengumumkan secara terbuka semua pemegang AP supaya rakyat boleh menilai bahawa sistem ini hanya menguntungkan kroni," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, menurut Faiz, data Jabatan Perangkaan jelas menunjukkan berlakunya ledakan inflasi makanan antara Disember 2019 hingga Februari 2022 dan kenaikan itu jauh melebihi kadar peningkatan gaji rakyat.

"Misalnya, harga tomato telah melonjak 30.6 peratus dalam tempoh ini daripada RM5.19 ke RM6.78 sekilo dan harga telur gred A 10 biji telah naik 14.1 peratus daripada RM3.89 ke RM4.44.

"Harga sekilo ayam pula naik sebanyak 17.8 peratus daripada RM8.03 ke RM9.46, manakala harga minyak masak lima kilogram (kg) naik hampir 41 peratus daripada RM20.98 ke RM29.54," katanya.

Beliau menambah, kenaikan gaji di Malaysia adalah jauh lebih rendah dan berdasarkan data Persekutuan Majikan Malaysia, gaji pekerja tahap eksekutif hanya meningkat sebanyak 4.82 peratus dan 4.4 peratus pada 2020 dan 2021.

"Sekiranya situasi ini berterusan, di mana harga barang asas melonjak lebih tinggi daripada kadar peningkatan gaji, rakyat Malaysia terus sengsara akibat inflasi, terutama golongan berpendapatan rendah.

"Kroni terus kaya raya, rakyat pula dihimpit sengsara," katanya.

Justeru katanya, Malaysia memerlukan perubahan struktur untuk menyelesaikan isu inflasi makanan dan paling penting, sistem AP harus dirombak untuk membolehkan pemborong dan penjual mengimport secara terus dari luar negara.

Jelasnya, liberalisasi sistem AP boleh mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan seterusnya membantu menurunkan harga makanan asas yang terjejas akibat sistem AP.

Beliau berkata, industri agro-makanan negara memerlukan satu anjakan bagi merangsang perkembangan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

"Menjelang perayaan Aidilfitri ini, rakyat dambakan perhatian kerajaan untuk mendapat harga makanan lebih murah maka, rombakan sistem AP amat penting supaya isu kos sara hidup ini benar-benar diatasi dengan tuntas," katanya.