City perlu menang baki perlawanan liga

Foden meraikan jaringganya ketika membantu City tewaskan Brighton di Stadium Etihad awal pagi tadi.
Foden meraikan jaringganya ketika membantu City tewaskan Brighton di Stadium Etihad awal pagi tadi.
A
A
A

PEMAIN Manchester City digesa untuk mengekalkan rentak kemenangan liga hingga akhir musim ini sekiranya mahu menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengendali City, Pep Guardiola berkata, kemenangan 3-0 ke atas Brighton dilihat masih belum cukup untuk The Citizens ditabalkan sebagai juara musim ini memandangkan mereka kini hanya dibezakan satu mata dengan Liverpool.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu percaya, Liverpool mampu untuk menjuarai liga sekiranya pasukannya gagal untuk memenangi kesemua baki enam perlawanan musim ini.

"Kami cuma hanya ada satu bulan sahaja lagi untuk menghabiskan kesemua baki perlawanan liga musim ini. Jadi saya rasa pasukan tahu apa yang mereka harus lakukan.

"Sekiranya pasukan keciciran dua mata, saya tidak melihat City akan menjadi juara, sebaliknya Liverpool akan menggantikan mereka," katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, tiga gol pada babak kedua yang dijaringkan Riyad Mahrez, Phil Foden dan Bernardo Silva kembali meletakkan City di takhta EPL.

Sebelum ini, Liverpool menjadi pendahulu seketika selepas membelasah Manchester United 4-0 di Anfield semalam

Dalam pada itu, Guardiola memuji persembahan yang ditampilkan pemain tengahnya, Kevin De Bruyne yang berjaya menampilkan aksi terbaik meskipun baru pulih daripada kecederaan buku lali.

"Persembahan dia (De Bruyne) pada hari ini perlu diberi pujian kerana dia baru sahaja pulih daripada kecederaan.

"Apabila De Bruyne berada dalam keadaan cergas dari segi segi mental dan fizikal, dia akan menjadi seorang pemain yang hebat dan luar biasa," katanya.