Suspek kes tetak empat ahli keluarga diberkas

Suspek yang menetak empat ahli keluarganya dengan sebilah parang di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili berjaya diberkas polis.
Suspek yang menetak empat ahli keluarganya dengan sebilah parang di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili berjaya diberkas polis.
A
A
A

KOTA TINGGI - Suspek yang menetak empat ahli keluarganya dengan sebilah parang ketika menunggu untuk berbuka puasa di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili dekat sini, pada Khamis, berjaya diberkas polis pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai menahan suspek jam 11.50 pagi.

"Suspek berumur 38 tahun yang terlibat dalam kes tetak isteri dan tiga ahli keluarga di Kuala Sedili berjaya dikesan di Jalan Persiaran Indahpura 4 sebelum ditangkap.

"Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek akan direman di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 April di Mahkamah Majistret di sini.

Menurutnya, reman itu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga denda atau sebat.

Kejadian pada jam 7.11 malam Khamis itu berlaku ketika empat beranak tersebut menunggu waktu berbuka puasa sebelum suspek dikatakan tiba-tiba mengamuk dan menetak menggunakan parang.

Suspek yang berasal dari Felda Air Tawar 3 menetak isterinya berusia 30-an dan ibu mentua berusia 50-an serta dua adik iparnya masing-masing lelaki berusia 16 tahun dan perempuan berusia 30-an.

Semua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, dua anak suspek berusia lima dan dua bulan selamat dalam kejadian itu, manakala motif serangan masih dalam siasatan.