Jurujual rugi RM382,517.47 terpedaya pelaburan mata wang asing

Seorang jurujual mengalami kerugian RM382,517.47 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan mata wang asing. - Foto 123RF
Seorang jurujual mengalami kerugian RM382,517.47 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan mata wang asing. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang jurujual di sebuah syarikat komunikasi tempatan mengalami kerugian sebanyak RM382,517.47 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan mata wang asing melalui aplikasi laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 38 tahun itu melayari satu laman web pelaburan di luar negara.

"Mangsa kemudian telah diterangkan mengenai latar belakang syarikat pelaburan yang hendak diceburi.

"Syarikat tersebut mengusahakan tiga jenis produk iaitu 'green agriculture products', 'green health industry' dan 'green energy industry'," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Mahidisham berkata, mangsa juga telah diterangkan berkenaan pakej 'Gold Card' yang memerlukan modal berjumlah AS$150,000 (RM638,314.19) dan dijanjikan keuntungan tiga peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat dalam tempoh tiga minit.

"Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa kemudiannya membuat pelaburan dan diberikan kata pengguna dan kata laluan untuk mengakses rangkaian pelaburan tersebut," katanya.

Beliau berkata, sejak 29 Mac lalu sehingga 18 April lalu, mangsa telah membuat 27 kali transaksi berjumlah RM382,517.47 ke dalam enam akaun yang berbeza.

"Mangsa berasa tertipu kerana masih tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan dijanjikan dan masih diminta membuat transaksi tambahan pelaburan lagi," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pelaburan yang tidak sah.

"Sebarang maklumat jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599, WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111222, semakmule.rmp.gov.my atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.