Khairy beri PH markah D

Paparan skrin wawancara Khairy bersama R.AGE.
Paparan skrin wawancara Khairy bersama R.AGE.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan yang baharu mentadbir negara 10 bulan, PH, dinilai hanya memperoleh gred D selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Memetik wawancara khas bersama R.AGE, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, gred itu diberinya kerana ada banyak isu ekonomi dan juga isu-isu lain yang belum diselesaikan oleh kerajaan PH.

"Markah 'D'... Bukan 'F' kerana saya rasa ada beberapa perkara yang mereka cuba lakukan, tetapi tentunya bukan 'C' kerana kebanyakan janji manifesto mereka tidak dilaksanakan," beliau dipetik sebagai berkata.

Dalam wawancara itu, Khairy mendakwa beliau menerima banyak makluman daripada golongan perniagaan berkenaan pelaburan yang perlahan disebabkan kurangnya hala tuju daripada kerajaan, selain faktor ekonomi global.

"Kos sara hidup tidak berubah. Walaupun sudah sembilan bulan (10 bulan) tiada petanda tentang hala tuju kerajaan untuk meringankan kos sara hidup," katanya lagi.

Selain isu ekonomi, Khairy juga mendakwa kerajaan gagal memberi respons yang memadai untuk memadam rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu sejak PRU lalu.

"Orang boleh kata UMNO dan Pas meningkatkan ketegangan kaum dan agama, tetapi anda juga boleh kata kerajaan membuat kesilapan dalam respons (mereka) terhadap rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu.

"Mereka dilihat kekurangan dalam banyak perkara, bukan saja ekonomi, tetapi juga (berkenaan) masyarakat," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga berkata, keyakinan rakyat keseluruhan terhadap kecekapan menteri PH sangat pelbagai, dengan ada yang menunjukkan prestasi yang baik dan ada juga bergelut untuk menjalankan tugas.

Baginya secara peribadi, Khairy menamakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sebagai antara yang paling menonjol dalam jemaah menteri.

"Saya nilai berdasarkan interaksi mereka di Parlimen, maka jika Anthony atau seseorang seperti Gobind menjawab soalan, mereka menjawab dengan profesional dan terus, manakala yang lain merapu, mengelak atau menyerang.

"Saya rasa selepas sembilan bulan, anda memang perlu melangkah ke hadapan," katanya lagi.