'Dokumen sampah pun percaya ke?' - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri - Foto Bernama
Ahmad Samsuri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas menafikan dakwaan wujud agenda untuk menjatuhkan beberapa nama pemimpin UMNO sebagaimana dinyatakan dalam dokumen berupa keratan minit mesyuarat yang tular dalam media sosial sejak Ahad lalu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dokumen yang mengaitkan usaha Perikanan Nasional (PN) melemahkan Barisan Nasional (BN) tersebut adalah tidak benar namun disebarkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Dokumen sampah macam itu pun ada orang percaya juga kah? Saya gelak saja, eja nama saya pun tidak betul," katanya selepas hadir merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persediaan dan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022 di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, tular beberapa dokumen minit mesyuarat PN mengenai pertemuan antara Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan beberapa pemimpin parti lain pada 24 dan 27 Mac di samping 4 dan 7 April lalu.

Antara pemimpin itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ahmad Samsuri (tengah) ketika hadir merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persediaan dan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022 di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Ahmad Samsuri (tengah) ketika hadir merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persediaan dan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara 2022 di Wisma Darul Iman pada Rabu.

Ia menyatakan pertemuan tersebut diadakan antara 24 Mac hingga 7 April lepas.

Ditanya sama ada wujud pertemuan dengan nama-nama dinyatakan tersebut, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mengakui ada mengadakan perjumpaan namun butirannya bukan sebagaimana laporan tular.

"Pertemuan itu ada tapi dalam kapasiti berbeza dan juga dicampur-campur. Dia tahu ada pertemuan maka dibuatlah naratif," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar dokumen palsu berkenaan kerana proses tersebut rumit dan mengambil banyak masa.

"Kita pun tidak tahu siapa sebar, proses undang-undang juga rumit sebenarnya. Kalau tidak, tiap-tiap hari kena buat laporan polis dan pergi mahkamah sampai tidak ada kerja lain kerana viral benda tidak betul ini. Pada saya tidak wajar dilayan," katanya.