Felcra agih zakat RM250,000 kepada 1,443 asnaf

Ahmad Jazlan (kanan) menyampaikan zakat kepada penerima di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, Machang pada Selasa.
Ahmad Jazlan (kanan) menyampaikan zakat kepada penerima di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, Machang pada Selasa.
A
A
A

MACHANG - Felcra Berhad mengagihkan sumbangan zakat berjumlah RM250,000 kepada 1,443 golongan asnaf di sekitar kawasan Parlimen Machang.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, agihan itu adalah hasil keuntungan perniagaan anak-anak syarikat Felcra Berhad sepanjang tahun lalu.

"Agihan zakat ini merupakan kali pertama dapat diberikan kepada penerima. Hal ini kerana selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Felcra Berhad mengalami kerugian sepanjang tahun," katanya selepas menyampaikan sumbangan zakat kepada golongan asnaf di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Menurutnya, bermula tahun lalu Felcra Berhad kembali mencatatkan semula keuntungan selepas diuruskan dengan baik.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua warga Felcra kerana telah bertungkus-lumus untuk memulihkan semula syarikat berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan berkata, sebanyak RM93,000 turut diberikan kepada 77 kakitangan Felcra Berhad yang terjejas dengan banjir pada tahun ini melibatkan Kelantan dan Terengganu.

"Sebelum itu untuk kakitangan di Selangor dan Pahang yang terlibat dengan banjir sudah kita agihkan," katanya.