Bekalan mercun bernilai RM33,000 dirampas

Rampasan pelbagai jenis mercun bernilai hampir RM33,000 dalam satu serbuan di rumah di Parit pada Isnin.
Rampasan pelbagai jenis mercun bernilai hampir RM33,000 dalam satu serbuan di rumah di Parit pada Isnin.
A
A
A

PARIT - Kegiatan seorang peniaga pasar malam menjual mercun terbongkar apabila kediamannya di Jalan Padang Bola di sini diserbu polis pada Isnin.

Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan Balai Polis Parit sekitar jam 11.50 malam itu berjaya merampas sejumlah mercun pelbagai jenis bernilai RM33,000.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan awal ke atas lelaki berusia 43 tahun itu mendapati suspek menjual mercun sebagai pendapatan sampingan sepanjang Ramadan ini.

"Suspek mengaku dalam tempoh sebulan ini telah membuat hampir lima kali pembelian mercun bermula daripada seorang lelaki di Ipoh iaitu sejak akhir Mac sehingga minggu lalu dengan anggaran setiap pembelian RM8,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas rumah suspek telah menemui empat guni plastik berwarna putih bersama lapan kotak berisi pelbagai jenis mercun di bahagian dapur.

Katanya, pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah pula menemui 13 kotak berwarna coklat yang di dalamnya mengandungi pelbagai jenis mercun.

“Suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen atau lesen yang sah atas barangan dijumpai itu," katanya.

Barudin berkata, suspek telah ditahan reman selama tiga hari bermula Selasa bagi siasatan kes di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1987.

"Permohonan analisa dari Jabatan Kimia akan dibuat untuk mendapatkan laporan mengenai barang kes," katanya.