Replika lampu pelita Suria KLCC diiktiraf terbesar di Malaysia

Md Shah (tiga dari kanan) menerima sijil pengiktirafan Replika Lampu Pelita terbesar di Malaysia daripada wakil MBR di Esplanade KLCC pada Jumaat.
Md Shah (tiga dari kanan) menerima sijil pengiktirafan Replika Lampu Pelita terbesar di Malaysia daripada wakil MBR di Esplanade KLCC pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Replika lampu pelita di Suria KLCC menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) sebagai Replika Lampu Pelita terbesar di Malaysia.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh wakil MBR kepada Pengerusi pihak pengurusan Suria KLCC Sdn Bhd, Md Shah Mahmood dengan disaksikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab pada Jumaat.

Md Shah berkata, replika berketinggian 17 meter dan 12 meter lebar itu adalah usaha pihaknya dalam menyemarakkan keriangan Ramadan dan Syawal di ibu kota.

"Selain itu, Kumpulan Syarikat Suria KLCC mengalu-alukan ketibaan Syawal tidak lama lagi dengan kepelbagaian dekorasi bertemakan kampung halaman," katanya ketika pelancaran kempen Hari Raya Aidilfitri dan pameran Replika Lampu Pelita terbesar di Malaysia di Esplanade KLCC pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan dan Pengurus Besar, Ameer Thajudeen.

Pengunjung berpeluang merasai keunikan tema 'Raya di Dusun Atuk' di Suria KLCC.
Pengunjung berpeluang merasai keunikan tema 'Raya di Dusun Atuk' di Suria KLCC.

Beliau berkata, usaha itu dilihat sebagai kerjasama penting dalam mengembalikan kegirangan dalam kalangan kelompok komuniti selaras dengan proses asimilasi pembukaan pelbagai aktiviti setelah melalui tempoh dua tahun perintah kawalan pergerakan.

Katanya, penampilan pelbagai tarikan bagi kempen sambutan Hari Raya Aidilfitri itu akan berlangsung sehingga 8 Mei ini dan pengunjung berpeluang merasai keunikan tema 'Raya di Dusun Atuk' yang menekankan sentuhan dekorasi rumah kampung di dalam dusun.

Menurutnya, pengunjung juga akan diberikan ganjaran apabila berbelanja sebanyak RM1,500 atau lebih melalui dua resit di mana-mana kedai terpilih sehingga 1 Mei ini di mana mereka berpeluang untuk menerima baucar membeli-belah Suria KLCC bernilai RM100 dan satu pek sampul raya Suria KLCC.

Dalam pada itu katanya, program tanggungjawab sosial ‘Kesedaran Kesihatan Mental’ yang diusahakan oleh Suria KLCC masih diteruskan melalui perolehan dana dari hasil jualan pin reben yang bermula sejak tahun 2021.

"Pengunjung digalakkan untuk memberi sokongan bagi menjayakan kempen ini dengan membeli pin yang dijual di kaunter pertanyaan Suria KLCC dengan harga RM10 setiap satu. Setiap hasil jualan akan disalurkan kepada RELATE Malaysia," katanya.