Jangan salah guna kurniaan Istana Johor: Permaisuri Johor

Tangkap layar beberapa kurniaan Istana Johor yang dimuat naik pemilik akaun TikTok 'shafeqyahya'.- Foto Royal Press Office.
Tangkap layar beberapa kurniaan Istana Johor yang dimuat naik pemilik akaun TikTok 'shafeqyahya'.- Foto Royal Press Office.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah bertitah, sebarang kurniaan daripada Istana Johor tidak sepatutnya disalahguna untuk meraih populariti di media sosial.

Ia merujuk kepada akaun TikTok 'shafeqyahya' yang menayang beberapa hadiah kurniaan daripada Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Menerusi muat naik di laman Facebook, The Royal Johor pada Selasa, baginda bertitah tidak mengenali individu pemilik akaun tersebut.

“Saya tahu hadiah-hadiah itu dan ia sebenarnya hadiah kurniaan kepada sesetengah pegawai kanan kerajaan negeri Johor sebagai penghargaan ikhlas atas perkhidmatan mereka.

Tangkap layar beberapa kurniaan Istana Johor yang dimuat naik pemilik akaun TikTok 'shafeqyahya'.- Foto Royal Press Office
Tangkap layar beberapa kurniaan Istana Johor yang dimuat naik pemilik akaun TikTok 'shafeqyahya'.- Foto Royal Press Office

“Saya tidak mengenali siapa ‘shafeqyahya’ ini dan saya mengesyaki hadiah itu disalah gunakan untuk meraih ikutan dan populariti di media sosial, seolah-olah mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga diraja Johor,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda bertitah, satu laporan polis akan dibuat untuk menyiasat sama ada wujudnya elemen salah guna atau menyamar sebagai pegawai kerajaan Johor.

Sebelum itu, pemilik akaun tersebut berkongsi video TikTok memaparkan beberapa kurniaan dari Istana Johor seperti loket rantai, syiling berwarna emas, set pen dan tasbih dan samping raya sehingga ada foto yang mendapat tanda suka lebih 19,000.