Percepat naik taraf kunci air elak banjir kilat

Situasi banjir kilat kerap melanda kampung itu sejak enam tahun lalu dan keadaan bertambah serius setiap kali fenomena air pasang besar.

Nik Adam menunjukkan air yang mula melimpah di kaki lima rumah sewanya pada Isnin. Gambar kecil: Shuhada
Nik Adam menunjukkan air yang mula melimpah di kaki lima rumah sewanya pada Isnin. Gambar kecil: Shuhada
A
A
A

SUNGAI BESAR - Penduduk di Kampung Nelayan di sini menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf kunci air Bagan Sungai Besar bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di kawasan kediaman penduduk.

Mereka mendakwa, keadaan bertambah teruk apabila berlaku limpahan di beberapa kediaman jika pertembungan fenomena air pasang besar dan hujan berterusan.

Seorang penduduk, Hasyim Putra Suhhan, 33, berkata, lebih 300 penduduk di kawasan berhampiran parit dan longkang utama berisiko tinggi mengalami banjir kilat.

"Kami mendesak kerja-kerja menaik taraf kunci air yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu dipercepatkan bagi mengelakkan kampung ini dilanda banjir kilat," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, banjir kilat kerap melanda kampung itu sejak enam tahun lalu dan keadaan bertambah serius setiap kali fenomena air pasang besar.

"Sampai bila penduduk perlu berdepan dengan masalah ini. Sayaharap JPS dapat mengambil tindakan segera," katanya.

Nik Adam Danial Ahmad Zaffar, 23, pula mendakwa, air melimpah dengan cepat di kawasan kaki lima rumah berikutan fenomena air pasang besar pada petang Sabtu dan Ahad.

Katanya, kemungkinan air pasang besar pada petang Isnin bertambah teruk dan berisiko masuk ke dalam rumah.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan dua lagi rakan yang menjalankan kerja-kerja pembuatan besi menyewa di sini sejak dua bulan lalu namun yang menjadi kebimbangan saya jika air masuk ke dalam rumah kerana boleh menyebabkan barangan seperti mesin kimpalan dan besi berisiko rosak," katanya.

Seorang guru Taman Bimbingan dan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Seri Pantai, Shuhada Abd Wahid, berkata, kawasan premis Tabika itu antara berisiko tinggi ditenggelami banjir kilat.

Jelas beliau, kejadian air melimpah membimbangkan guru dan 21 kanak-kanak di Tabika itu kerana premis berada di kawasan rendah dan berhampiran parit utama.

"Keadaan lebih merisaukan apabila kami terdedah kepada haiwan berbisa seperti ular dan biawak selain kotoran dan lumpur berbau busuk hingga menyukarkan kerja-kerja pembersihan," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin meminta JPS memberi penjelasan segera berhubung aduan dibangkitkan penduduk terbabit.

Kata beliau, terdapat banyak rungutan berhubung kerja-kerja menaik taraf kunci air tersebut hingga meresahkan penduduk setempat.

"Jika berlaku kelewatan, pihak kontraktor dan JPS perlu memberi penjelasan kepada kepimpinan setempat dan penduduk yang terjejas.

"Ini melibatkan perkara teknikal dan JPS perlu memandang serius kerana ia memberi kesan kepada penduduk," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan JPS bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung aduan tersebut.