Lari sekatan jalan raya, polis cari dua lelaki

Wan Hassan
Wan Hassan
A
A
A

ALOR SETAR - Polis sedang memburu dua suspek lelaki yang meloloskan diri daripada pemeriksaan polis dalam kejadian di kawasan Permatang Merbau, dekat Sungai Petani, pada Ahad.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu tiga anggota polis dari Balai Polis Tikam Batu yang sedang menjalankan tugasan di kawasan itu mengesan sebuah kereta Proton Wira yang mencurigakan.

"Kereta itu dinaiki empat lelaki dan anggota polis telah mengarahkan pemandunya untuk memberhentikan kenderaan, namun ia tidak diendahkan dan kereta berkenaan memecut dan hampir melanggar anggota polis.

"Polis telah mengejar suspek yang memandu secara berbahaya dan telah melanggar beberapa kenderaan awam. Anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan demi menjaga keselamatan orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Katanya, dalam kejadian itu seorang anggota polis mengalami kecederaan dan telah diberikan rawatan, manakala suspek berjaya meloloskan diri.

Bagaimanapun katanya, dua daripada mereka yang berusia 38 dan 41 tahun itu berjaya ditahan, sementara dua lagi yang berusia 23 dan 19 tahun masih diburu.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 04-4299222,” katanya yang turut memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan (KK). - Bernama

Artikel Berkaitan: