Video tular kanak-kanak tunggang basikal lajak video lama

Gambar kiri: Video kanak-kanak menunggang basikal lajak di Lebuhraya Lekas adalah video lama, Gambar kanan: Aksi kanak-kanak yang menunggang basikal lajak di Lebuhraya Lekas tiga tahun lalu. - Foto Facebook
Gambar kiri: Video kanak-kanak menunggang basikal lajak di Lebuhraya Lekas adalah video lama, Gambar kanan: Aksi kanak-kanak yang menunggang basikal lajak di Lebuhraya Lekas tiga tahun lalu. - Foto Facebook
A
A
A

SEREMBAN - Video tular di Facebook berdurasi 44 saat yang menunjukkan sekumpulan kanak-kanak menunggang basikal lajak di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) merupakan video lama.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, video yang kembali tular pada Sabtu itu dipercayai berlaku pada September 2019 sekitar jam 1 petang di Kilometer (KM) 39 hingga KM 40 (Exit 2106) Lebuhraya Lekas berhampiran susur masuk ke arah Ampangan.

"Ia menunjukkan lebih kurang 10 kanak-kanak menunggang basikal lajak dengan membuat aksi merbahaya.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Seremban sering menjalankan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan di lokasi-lokasi kegiatan basikal lajak dan hasilnya, kegiatan ini semakin berkurangan sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pihak polis akan mengambil tindakan yang tegas ke atas kesalahan lalulintas termasuk aktiviti basikal lajak.

"Tindakan boleh diambil mengikut Kaedah 35(2) dan Kaedah 35(3) LN165/59, setiap basikal ditunggang perlu dipasang lampu di hadapan dan belakang bagi menunjukkan cahaya putih serta merah yang boleh dilihat dalam jarak munasabah.

"Sementara itu menerusi Kaedah 42(1) LN165/59, tiada seorang pun boleh menunggang basikal di atas jalan melainkan dilengkapi dengan brek efektif yang beroperasi secara berasingan pada kedua-dua tayar dan loceng," katanya.

Mengulas lanjut, Nanda berkata, tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap ibu bapa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 yang menjadi satu kesalahan untuk ibu bapa atau penjaga membiarkan anak-anak tanpa pengawasan yang berpatutan.

Artikel Berkaitan:

"Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kita menasihatkan supaya semua pihak lebih bertanggungjawab apabila menggunakan jalan raya dan mematuhi peraturan sedia ada bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku dan memastikan ketenteraman awam sentiasa terjaga," ujarnya.