Lebih 1,800 banduan Kelantan lunas zakat

Nordin (tengah) menyerahkan bayaran zakat kepada Ameer Azeezy (kiri) sambil disaksikan Mat Yaacob di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, pada Jumaat.
Nordin (tengah) menyerahkan bayaran zakat kepada Ameer Azeezy (kiri) sambil disaksikan Mat Yaacob di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 1,800 banduan di negeri ini menyempurnakan rukun Islam keempat pada pertengahan Ramadan tahun ini dengan melunaskan zakat fitrah yang keseluruhannya berjumlah RM12,922.

Jumlah zakat RM7,000 itu membabitkan penghuni di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pusat Pemulihan Akhlak Machang (RM 3,500), Pusat Re-intergrasi Penghuni Kuala Krai (RM1,400), Pejabat Parol Daerah (PPD) Kota Bharu (RM280), PPD Bachok (RM 182), PPD Tanah Merah (RM210) dan PPD Kuala Krai (RM350).

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, zakat yang dibayar oleh kesemua 1,846 banduan itu menggunakan wang daripada Skim Pendapatan Banduan atau gaji masing-masing ketika berada di dalam penjara.

“Mereka menerima upah hasil penyertaan Program Pemulihan Fasa 3 melalui pelbagai kerja termasuk di bengkel kemahiran seperti pertukangan, kraftangan dan jahitan.

“Sebahagiannya juga merupakan Orang Diparol (ODP) yang menyertai program Corporate Smart Internship (CSI) dan dibayar mengikut kadar gaji minimum oleh sektor korporat yang bekerjasama dengan Jabatan Penjara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Komisioner Jeneral Penjara Datuk Nordin Muhamad Bersama Kakitangan Penjara Kelantan di Penjara Pengkalan Chepa, di sini, pada Jumaat.

Turut berlangsung, Majlis Penyerahan Zakat Fitrah Penghuni Penjara Kelantan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Zakat diserahkan kepada Ketua Pegawai Zakat Maik, Ameer Azeezy Tuan Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Mat berkata, tiada paksaan daripada pihak penjara kepada penghuni yang beragama Islam untuk membayar zakat fitrah setiap kali Ramadan.

“Cuma kami menghebahkan dan memberi galakan kepada penghuni yang mempunyai pendapatan serta simpanan hasil pekerjaan di penjara untuk membayar zakat fitrah.

“Kita mahu ada kesedaran dalam diri penghuni yang membuktikan mereka semakin berubah ke arah lebih baik,” katanya.

Ujarnya, ketika ini seramai 6,000 penghuni penjara di seluruh Kelantan membabitkan pelbagai hukuman dan kita menyasarkan kepada golongan banduan yang bekerja dalam penjara sahaja untuk membayar zakat.

Beliau turut memberitahu, jumlah zakat mungkin meningkat kerana tempoh pembayaran zakat masih terbuka dengan Ramadan berbaki dua minggu lagi,” katanya.