Gerakan koperasi mampu kuasai pasaran pemborongan, peruncitan: PM

Ismail Sabri (dua dari kiri) pada majlis perasmian Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Putrajaya pada Jumaat.
Ismail Sabri (dua dari kiri) pada majlis perasmian Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Gerakan koperasi dilihat mampu menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutamanya sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana koperasi mempunyai ekosistem komprehensif dan bersepadu.

"Bersandarkan kepada jumlah keanggotaannya yang besar ini, kerajaan melihat koperasi mempunyai peranannya untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat," katanya.

Menurutnya, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Disember 2021 menunjukkan 2,581 buah koperasi sektor pemborongan dan peruncitan telah didaftarkan dengan perolehan melebihi RM820 juta.

"Ini menunjukkan koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berpotensi besar untuk dimajukan," katanya dalam ucapan pelancaran dan perasmian Kedai Koperasi Komuniti, Coop Mart Pudina Putrajaya Berhad di sini pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan RM180,000 kepada Koperasi Pudina Putrajaya Berhad dan Koperasi Hilang Ampang Berhad.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri (kanan) melawat Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Putrajaya pada Jumaat.
Ismail Sabri (kanan) melawat Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Putrajaya pada Jumaat.

Beliau berkata, jika kesemua koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu sebagai satu gerakan, setiap ahlinya juga akan menerima manfaat termasuk peningkatan taraf sosioekonomi sekali gus memberi impak besar kepada ekonomi rakyat serta negara.

"Ini kerana sektor koperasi tempatan menawarkan peluang kepada Keluarga Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan dengan menganggotai dan memiliki saham koperasi yang juga bertindak sebagai pemasar produk keluaran ahli-ahlinya," katanya.

Menyedari peranan besar yang mampu dimainkan oleh koperasi kepada Keluarga Malaysia, Ismail Sabri berkata, kerajaan menyasarkan penubuhan lebih 500 kedai koperasi di seluruh negara yang akan diusahakan menerusi pelbagai jenis koperasi.

"Langkah ini dapat memastikan manfaatnya dirasai seluruh Keluarga Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar dan kawasan yang majoriti penduduknya adalah golongan B40 selain juga ahli-ahli koperasi para pengguna dan usahawan yang terlibat dalam rantaian bekalan ini.

Ini dapat dilihat melalui Coopmart milik Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Presint 17, Putrajaya yang ditubuhkan dengan bantuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan," katanya.

Ujarnya, pertumbuhan gerakan koperasi dalam sektor peruncitan wajar diberi penekanan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara.

"Pendekatan Coopmart yang menjurus kepada pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan inklusif dijangka dapat mewujudkan satu garis panduan kepada koperasi sedia ada atau baharu yang ingin menceburi dalam bidang peruncitan," katanya.