Aplikasi Go Selangor mudahkan pelancong teroka Selangor

Loy Sian (dua dari kanan) pada pelancaran aplikasi pelancongan Go Selangor di i- City pada Khamis.
Loy Sian (dua dari kanan) pada pelancaran aplikasi pelancongan Go Selangor di i- City pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Aplikasi Go Selangor menyediakan perkhidmatan lengkap pelancongan yang membantu pengembara meneroka Selangor secara terus tanpa khidmat ejen.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, aplikasi dibangunkan syarikat swasta, Tourplus Technology Sdn Bhd dengan kos RM3 juta itu bakal beroperasi sepenuhnya mulai bulan depan.

Menurutnya, sebanyak 300 peniaga (merchants) telah berdaftar di bawah aplikasi tersebut dan menyasarkan jumlah tersebut ditingkatkan kepada 100,000 peserta menjelang hujung tahun ini.

"Aplikasi ini menyediakan perkhidmatan lengkap kepada pelancong untuk menempah hotel, tiket pengangkutan, inap desa dan lain-lain.

"Aplikasi ini boleh di akses ke seluruh dunia dan kita menggalakkan semua pelancong yang mahu datang ke Selangor menggunakan aplikasi ini," katanya pada pelancaran Aplikasi Pelancongan Selangor 'Go Selangor' di i-City pada Khamis.

Pada program itu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Tourism Selangor diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad dan Tourplus Technology yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Rickson Goh.

Loy Sian (belakang) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Tourism Selangor dengan TourPlus Technology bagi aplikasi Go Selangor.
Loy Sian (belakang) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Tourism Selangor dengan TourPlus Technology bagi aplikasi Go Selangor.

Beliau berkata, aplikasi Go Selangor sama seperti konsep Agoda dan Traveloka, namun memfokuskan kepada produk pelancongan di Selangor yang mempunyai banyak lokasi menarik untuk dilawati seperti ekotourism yang tidak diketahui oleh orang luar.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin sasaran 100,000 penyertaan perniagaan dalam aplikasi tersebut mampu dicapai.

"Tourplus Technology dan Tourism Selangor akan memastikan sasaran ini dicapai dan kita akan pantau dari semasa ke semasa dengan mengajak lebih banyak peniaga untuk turut serta.

"Peniaga perlu bayar RM300 setahun di bawah aplikasi ini namun untuk tahun pertama diberikan percuma. Caj tersebut dianggap munasabah iaitu kurang RM30 sebulan untuk (iklan) perniagaan mereka di medium digital," katanya.