10 individu, dalang curi lori diberkas

Arjunaidi (kiri) melihat komponen lori yang dirampas membabitkan penahanan 10 suspek kes curi lori pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada Jumaat.
Arjunaidi (kiri) melihat komponen lori yang dirampas membabitkan penahanan 10 suspek kes curi lori pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kegiatan seorang pemilik bengkel yang menjadi dalang aktiviti mencuri lori di sekitar Selangor untuk mendapatkan komponen kenderaan terbongkar selepas dia bersama sembilan individu lain secara berasingan pada 5 April hingga 10 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, penahanan 10 suspek berusia antara 28 hingga 60 tahun termasuk seorang wanita itu dilakukan melalui tiga serbuan di Plaza Tol Senawang arah Kuala Lumpur, Tongkang Pecah dan Jalan Kluang, Batu Pahat, Johor.

"Kita menerima laporan daripada seorang pemandu lori berusia 63 tahun yang memaklumkan sebuah kenderaan itu hilang di Seksyen U5, Shah Alam pada 23 Februari lalu.

"Bertindak atas maklumat, kita menahan sembilan lelaki termasuk dalangnya iaitu pemilik bengkel berusia 47 tahun serta seorang lelaki warga Bangladesh," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada Jumaat.

Arjunaidi berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori dalam keadaan sempurna dan 20 lagi dalam keadaan tidak sempurna, sembilan enjin serta 11 komponen lori dianggarkan bernilai RM605,000.

"Modus operandi kumpulan itu yang aktif sejak tahun lalu ialah menyasarkan lori yang diparkir di sekitar Selangor.

"Setiap suspek mempunyai peranan termasuk mencuri, menghantar lori ke bengkel serta meleraikan komponen kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata, lori yang dicuri akan dihantar kepada seorang lelaki yang bertindak sebagai orang tengah dalam urusan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Suspek menerima upah antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap penghantaran bergantung kepada saiz serta keadaan lori yang dicuri,” katanya.

Arjunaidi memberitahu, semakan mendapati empat suspek termasuk dalang utama mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Semua suspek masih ditahan reman sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

"Dengan penahanan kesemua suspek terbabit, kami berjaya menyelesaikan tujuh kes curi lori di daerah ini, Petaling Jaya dan Kuala Langat,” katanya.