Lelaki ditahan miliki mercun stok raya RM83,000

Suspek (kiri) bersama mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan di Batu Pahat pada Rabu.
Suspek (kiri) bersama mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan di Batu Pahat pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - Hasrat seorang lelaki untuk mengaut keuntungan mudah menjual mercun sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini membawa padah apabila ditahan dalam satu serbuan di sini pada Rabu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2), Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, suspek yang berusia 49 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di daerah ini kira-kira jam 6.30 petang, Rabu.

“Hasil maklumat orang awam, polis berjaya mengesan seorang lelaki yang disyaki menyimpan sejumlah mercun untuk dijual di pasaran tempatan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Soal siasat kemudiannya membawa kepada pemeriksaan di sebuah premis yang mana polis menemui sejumlah 63 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM83,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Muhd Zailani berkata, kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.

“Pasukan Polis Marin akan sentiasa menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang rentas sempadan.

“Orang ramai juga diseru untuk sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutamanya PPMW2 bagi membanteras sebarang bentuk jenayah terutamanya melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat maritim,” katanya.

Artikel Berkaitan: