Rampas rokok seludup waktu sahur

Azuhar (dua dari kanan) menunjukkan rokok putih bernilai RM600,000 yang diseludup masuk ke negara ini semasa umat Islam sedang bersiap sedia untuk bersahur pada Khamis.
Azuhar (dua dari kanan) menunjukkan rokok putih bernilai RM600,000 yang diseludup masuk ke negara ini semasa umat Islam sedang bersiap sedia untuk bersahur pada Khamis.
A
A
A

TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas rokok putih bernilai RM600,000 yang diseludup masuk ke negara ini, pada Khamis semasa umat Islam sedang bersiap sedia untuk bersahur.

Ketua Bahagian Operasi/Risik PPM Wilayah Tiga, Deputi Superintendan Azuhar Md Nor berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota telah menjalankan intipan di tebing Sungai Kelantan di Kampung Kutan Tengah di sini, pada jam 4.10 pagi.

"Anggota PPM mengesan timbunan kotak-kotak berwarna coklat berada di kawasan tebing sungai berkenaan.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada kelibat individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan timbunan kotak berkenaan," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, pada Khamis.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak tersebut membawa kepada penemuan kira-kira 800,000 batang rokok putih.

"Kejayaan ini merupakan rampasan kali pertama yang dilakukan di kawasan Sungai Kelantan.

"Kita percaya rokok putih itu dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan. Kes disisat bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.

Menurutnya, pada 18 Mac lalu, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor telah merampas rokok putih yang dianggarkan berjumlah RM204,000 selepas menahan dua buah kereta yang membawa barangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor akan memperketatkan lagi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dalam membendung aktiviti jenayah terutama aktiviti penyeludupan.