Disangka kesan vaksin Covid-19, rupanya kayap

Kenyataan akhbar JKN Perak mengenai dakwaan tular seorang warga emas yang dipaksa mengambil vaksin Covid-19. (Gambar kiri) Dr Lay Ming.
Kenyataan akhbar JKN Perak mengenai dakwaan tular seorang warga emas yang dipaksa mengambil vaksin Covid-19. (Gambar kiri) Dr Lay Ming.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak tampil menjelaskan mesej tular di media sosial mengenai seorang warga emas yang dikatakan mendapat kesan sampingan selepas mendakwa dipaksa mengambil suntikan vaksin Covid-19 di sebuah klinik kesihatan di daerah Kuala Kangsar.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati pada 6 April 2022, warga emas tersebut telah hadir seorang diri ke Klinik Kesihatan Padang Rengas untuk rawatan susulan penyakit kronik.

Menurutnya, semasa sesi konsultasi di bilik rawatan, pegawai perubatan mendapati warga emas tersebut belum pernah menerima suntikan vaksinasi Covid-19.

"Memandangkan beliau mempunyai masalah logistik dan sukar untuk datang ke klinik semula sekiranya terpaksa hadir untuk dos kedua, pegawai perubatan telah memberikan kaunseling mengenai suntikan dos tunggal vaksin CanSino.

"Warga emas tersebut bersetuju untuk menerima suntikan tersebut serta menandatangani borang persetujuan vaksinasi Covid-19 dan disuntik pada hari yang sama," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.

Dr Lay Ming berkata, pada 8 April sekitar jam 3 petang, individu tersebut hadir semula ke Klinik Kesihatan Padang Rengas bersama seorang waris mengadu mengalami ruam di bahagian kiri atas dada, leher dan bahu.

Katanya, setelah itu warga emas tersebut dirujuk untuk rawatan lanjut di Klinik Pakar Dermatologi Hospital Taiping pada 11 April dan pakar Dermatologi telah menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel bagi ujian makmal Tzanck Smear.

"Hasil ujian makmal mengesahkan individu tersebut menghidap penyakit Herpes Zoster atau kayap dan telah diberikan ubat antiviral serta ubat tahan sakit.

Artikel Berkaitan:

"Tarikh temu janji susulan di klinik pakar pada 19 Mei 2022 telah diberikan dan keadaan pesakit kini stabil serta dirawat sebagai pesakit luar," jelasnya.