Mahasiswa B40 boleh mohon PerantiSiswa mulai Jumaat

Annuar (tiga dari kiri) dan Noraini (dua dari kiri) pada majlis Prapelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Multimedia pada Khamis.
Annuar (tiga dari kiri) dan Noraini (dua dari kiri) pada majlis Prapelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Multimedia pada Khamis.
A
A
A

CYBERJAYA - Seramai 350,000 mahasiswa golongan B40 di seluruh negara bakal menerima Inisiatif PerantiSiswa di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) bermula Jun ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka yang layak memohon terdiri daripada mereka yang belum mempunyai peranti.

Menurutnya, permohonan itu terbuka kepada mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian di peringkat Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda melalui pengagihan peranti berupa tablet.

"Bagaimanapun golongan bukan B40 juga layak memohon membabitkan mereka yang berhadapan bencana alam dan banjir menyebabkan peranti mereka rosak atau musnah.

“Bagi golongan B40 yang sudah memiliki tablet mereka tidak digalakkan untuk memohon kerana mungkin sebahagiannya sudah menerima bantuan dari pihak luar kecuali peranti mereka rosak," katanya pada majlis Prapelancaran PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Multimedia pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Dalam pada itu, Annuar berkata, inisiatif PerantiSiswa ini menggunakan Konsep Guna Pakai selama tempoh pengajian bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan peranti seperti menjual atau memberikannya kepada orang lain selain memastikan hanya mahasiswa yang benar-benar memerlukan mendapat manfaatnya.

“Semua perolehan berdasarkan kepada siling yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan sebanyak RM450 juta. Kita akan melihat sekiranya ada ruang program peranti ini diperluaskan kepada kelompok selain daripada kita umumkan pada hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Spesifikasi tablet ini juga menawarkan kemampuan optimum bagi kesinambungan dan juga aplikasi asas berkaitan pendidikan. Peranti tersebut bukanlah peranti yang dibina untuk keperluan spesifik teknikal program pengajian tertentu yang memerlukan spesifikasi tinggi komputer seperti keperluan kejuruteraan, pengaturcaraan ataupun program multimedia kreatif,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai kos sebenar peranti berkenaan, beliau berkata, ia bergantung kepada keputusan tender namun tidak melebihi siling yang telah ditetapkan oleh kementerian.

"Saya yakin tidak akan ada peranti yang bersifat OEM, malah saya menjangkakan peranti yang akan dipilih adalah satu jenama premium yang berada dalam pasaran. Malah akan ada program pasca beli dan juga termasuk waranti tertentu.

"Portal permohonan untuk mahasiswa daripada semua politeknik, kolej komuniti, IPTA dan IPTS mula dibuka esok dan saya harap mereka yang memerlukan peranti khususnya yang masih belum mempunyai peranti boleh membuat permohonan secara dalam talian," katanya.

Justeru, beliau berharap mahasiswa akan menggunakan sebaik mungkin kemudahan yang disediakan serta memberi impak positif dalam usaha mengharmonikan kehidupan masyarakat melewati transisi ke fasa endemik kelak.

Permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia boleh dibuat menerusi laman web rasmi https://perantisiswa.kkmm.gov.my mulai 15 April 2022 bermula jam 8 pagi.