MBSJ edar 652 baucar RM5 kepada pengunjung bazar Ramadan

Johary (kanan) mengedarkan baucar RM5 kepada pelanggan yang membawa bekas makanan sendiri semasa lawatannya ke bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya pada Rabu.
Johary (kanan) mengedarkan baucar RM5 kepada pelanggan yang membawa bekas makanan sendiri semasa lawatannya ke bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengedarkan sebanyak 652 baucar bernilai RM32,600 kepada pengunjung yang membawa bekas makanan di bazar Ramadan setakat 10 April lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, kempen itu dijalankan bagi pelanggan yang menyokong usaha mengurangkan penggunaan plastik di Bazar Ramadan.

Menurutnya, sepanjang Ramadan ini, sebanyak 2,000 baucar disediakan MBSJ kepada pelanggan pada setiap Rabu mengikut terma 'first come first serve' di semua lokasi bazar mengikut agihan ditetapkan

"Dalam kempen ini, pelanggan hanya perlu membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan dan berpeluang menerima baucar belian bernilai RM5," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Azfarizal berkata, MBSJ turut melaksanakan beberapa inisiatif lain antaranya menerusi kempen kitar semula minyak masak di 10 lokasi bazar Ramadan terpilih.

Jelas beliau, kempen itu menyaksikan sebanyak 10.75 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan sehingga 10 April lalu.

"Insiatif lain turut disediakan di bazar Ramadan ialah kempen pembayaran tanpa tunai menerusi penggunaan aplikasi dan perbankan internet seperti e-wallet, boost, Maybank,Ambank dan Touch 'n go selain kempen bebas polisterina dan straw plastik," ujarnya.

Menyentuh mengenai operasi bazar Ramadan, Azfarizal berkata, sebanyak tujuh lokasi ditambah menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 16 lokasi dengan penyediaan 1,251 petak di bawah pentadbiran MBSJ.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, semua bazar Ramadan itu diuruskan sepenuhnya oleh MBSJ tanpa melantik mana-mana badan penganjur atau pihak ketiga.

Beliau memberitahu, Datuk Bandar MBSJ, Datuk Johary Anuar dan timbalannya, Mohd Zulkurnain Che Ali turut meluangkan masa meninjau bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya pada Rabu.

"Lawatan itu dilakukan bagi melihat sendiri aktiviti perniagaan yang dijalankan di bazar Ramadan berkenaan," katanya.

Menurut beliau, keistimewaan Bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya kerana ia menjadi tumpuan pengunjung pada setiap tahun bagi mendapatkan juadah berbuka puasa.

"Terdapat sebanyak 101 gerai jualan yang menyediakan pelbagai jenis makanan untuk dinikmati terutamanya gerai Nasi Mandy Chef Ammar dan martabak Azmi yang merupakan juadah paling popular dalam kalangan pengunjung," katanya.