Bekas CEO didakwa terima rasuah keluarkan sijil, transkrip

Amran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas dua pertuduhan menerima rasuah, lapan tahun lalu.
Amran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas dua pertuduhan menerima rasuah, lapan tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah kolej di Jengka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi tujuan mengeluarkan sijil dan transkrip, lapan tahun lalu.

Tertuduh, Amran Mustaffa, 58, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Bapa kepada sembilan anak itu didakwa dengan dua pertuduhan iaitu menerima rasuah RM5,000 daripada Muhammad Izhar Ismail melalui pengurus sebuah syarikat, Noralyra Ismail sebagai upah untuk mengeluarkan sijil dan transkrip program asasi sains di kolej terbabit tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.

Perbuatan itu didakwa dilakukan olehnya di Bank CIMB Berhad cawangan Jerantut pada 21 dan 24 Oktober 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama.

Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sebelum itu, Pendakwa Raya SPRM, Kamariah Seman yang mengendalikan kes menawarkan kos ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Namun, peguam mewakili Amran, Ahmad Mawardi Che Hassan memohon pengurangan berikutan anak guamnya itu mempunyai tanggungan isteri dan sembilan anak yang masih bersekolah.

Artikel Berkaitan:

“Anak guam saya sudah dipecat dari jawatannya selepas digantung kerja sejak 2019. Sepanjang lima tahun siasatan anak guam saya sudah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak SPRM," ujarnya.

Ahmad Zamzani kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM pada setiap awal bulan bermula April sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Mei depan.