Arnab panggang madu Ayah Wan laris bulan Ramadan

Wan Mohammad Muttaqim bersama arnab panggang madu yang telah masak di kediamannya di Kampung Rhu Muda, Marang.
Wan Mohammad Muttaqim bersama arnab panggang madu yang telah masak di kediamannya di Kampung Rhu Muda, Marang.
A
A
A

MARANG - Seorang penternak arnab dari Kampung Rhu Muda disini, mencipta kelainan dengan menghasilkan juadah arnab panggang madu yang diolah menggunakan ramuan perap istimewa warisan keluarga.

Wan Mohammad Muttaqim Wan Muda, 26, berkata, juadah istimewa yang dijual pada harga RM30 untuk separuh dan RM60 seekor dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan sepanjang Ramadan.

"Arnab panggang madu ini hanya dijual pada bulan puasa kerana mendapat permintaan tinggi. Masuk kali ini sudah tiga kali juadah ini dijual sepanjang Ramadan.

"Tahun lalu, sebanyak 50 ekor arnab panggang dijual dalam tempoh sebulan. Disebabkan bekalan arnab agak sukar diperoleh, kita terpaksa mengehadkan jualan kepada 10 ekor sehari pada tahun ini dan bergantung kepada tempahan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut Wan Mohammad Muttaqim, ramuan bagi perapan arnab panggang itu dibuat sepenuhnya oleh ibunya manakala dia menguruskan proses membersihkan, perap dan panggang arnab.

"Arnab ini makin lama perap makin sedap kerana rempah ratus itu sebati dengan dagingnya. Biasanya proses perap mengambil masa selama tiga jam dan paling lama perap selama sehari.

"Selepas siap diperap, arnab akan dimasak di atas bara api selama 20 minit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohammad Muttaqim menunjukan arnab yang siap dipotong untuk dijual kepada pelanggan.
Wan Mohammad Muttaqim menunjukan arnab yang siap dipotong untuk dijual kepada pelanggan.

Katanya, selain memiliki khasiat seperti tinggi kandungan protein, kebanyakan pelanggan mengatakan rasa daging arnab yang lebih sedap berbanding ayam terutama selepas disalut sos madu.

"Juadah ini biasanya dibeli oleh pelanggan di sekitar Marang dan Kuala Terengganu. Ada juga yang beli kerana pertama kali mahu merasa menu ini.

"Walaupun hanya berniaga secara kecil-kecilan di rumah saya bersyukur kerana tidak putus-putus menerima tempahan arnab panggang setiap hari. Jika sambutan menggalakkan dan ada rezeki, saya akan usaha untuk berniaga lagi pada tahun depan” katanya.

Wan Mohammad Muttaqim berkata, selain daging arnab yang siap dimasak, dia juga menghasilkan arnab perap sejuk beku berharga RM25 bagi 500 gram.

Katanya, produk yang dihasilkan itu dipromosikan melalui laman sosial Facebook Marang Rabbitry.