Skuad boling yakin mampu teruskan tradisi 'lubuk' pingat Malaysia

Nerosha antara atlet muda yang akan menggalas cabaran skuad boling Malaysia pada Sukan SEA di Hanoi bulan depan.
Nerosha antara atlet muda yang akan menggalas cabaran skuad boling Malaysia pada Sukan SEA di Hanoi bulan depan.
A
A
A

SKUAD Boling negara yakin pemain-pemain muda yang bakal menggalas cabaran Malaysia di temasya Sukan SEA Hanoi Mei ini mampu untuk meneruskan tradisi pemain-pemain senior sebagai lubuk untuk mendapatkan pingat.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia, Maradona Chok berkata, meskipun kesemua pemain yang disenaraikan pada edisi kali ini merupakan atlet yang membuat penampilan pertama di temasya dwi tahunan itu, namun pihaknya percaya mereka mampu melakukan yang terbaik menadangkan kesemua mereka sudah ada pengalaman beraksi di pentas antarabangsa sebelum ini.

“Seperti semua orang tahu, untuk edisi kali ini kita akan hantar pemain-pemain muda yang mana kesemua mereka ini akan melakukan debut pertama di temasya Sukan SEA. Bagaimanapun ia tidak bermakna kami menghantar pasukan yang lemah ke Sukan SEA.

“Ini kerana kesemua pemain yang kita senaraikan untuk ke sukan adalah mereka yang sudah ada pengalaman beraksi di pelbagai kejohanan cumanya, mereka tidak pernah beraksi di Sukan SEA.

"Bagaimanapun, kami yakin kesemua mereka ini akan mampu untuk mempamerkan aksi yang baik di Hanoi sekali gus dapat menyumbang pingat kepada negara,"katanya ketika sidang media skuad boling di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Rabu.

Pada Sukan SEA kali ini, skuad boling negara mempertaruhkan Shahrukh Amin Zulkifli, Hafiz Zainuddin, Syazirol Shamsudin dan Nevern Netaneel Marcellinus Petrus bagi pasukan lelaki manakala pasukan wanita diwakili Gillian Lim, Nora Lyana Nastasia Norkamal, Nerosha Keligit dan Nur Syazwani Sahar.

Untuk rekod, pada Sukan SEA 2019 di Filipina, skuad boling negara menutup tirai kempen di kedudukan ketiga keseluruhan dengan pungutan dua pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih negara Holloway Cheah berkata, pihaknya ketika ini masih menunggu pemakluman mengenai jenis corak peminyakan yang bakal digunakan di venue Sukan SEA kali ini sebelum merangka strategi bagi menyesuaikan diri dengan keadaan lorong Boling pertandingan.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa ini kami masih menunggu mengenai pengumuman itu dan ia akan dilaksanakan oleh pakar dari Amerika Syarikat dan mereka akan memaklumkannya dalam masa terdekat.

"Namun, pelbagai kemungkinan corak peminyakan akan digunakan telah saya kaji berdasarkan pengalaman selain kesemua atlet sedang giat memperkemaskan balingan mereka.

"Kita perlu menunggu supaya kita mendapat gambaran betul dalam mempersiapkan atlet," katanya.