Kerajaan beri jaminan sedia peruntukan cukup

Tengku Zafrul (dua, kanan) menyantuni seorang pesakit ketika melawat pusat rawatan selepas merasmikan Pusat Hemodialisis NSCMH Dialysis Care, cawangan Kuala Pilah hari ini. -Foto Bernama
Tengku Zafrul (dua, kanan) menyantuni seorang pesakit ketika melawat pusat rawatan selepas merasmikan Pusat Hemodialisis NSCMH Dialysis Care, cawangan Kuala Pilah hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA PILAH - Kerajaan memberi jaminan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dapat dijayakan dan memberi manfaat sepenuhnya kepada Keluarga Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sentiasa menitik beratkan isu kesihatan awam dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Melalui Bajet 2022, kerajaan akan terus memupuk budaya sihat dan telah bersetuju untuk meneruskan Agenda Nasional Malaysia Sihat atau ANMS3 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada November lepas.

"ANMS adalah bertujuan untuk menjadikan budaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran sebagai satu norma baharu bagi menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Hemodialisis NSCMH Dialysis Care cawangan Kuala Pilah pada Rabu.

Hadir sama, Presiden Negeri Sembilan Chinese Maternity Association (NSCMH)Dialysis Care, Datuk Seri Lee Tian Hock.

Tengku Zafrul berkata, ANMS akan turut diberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12),terutamanya dalam mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.

"Antara strategi yang akan dijalankan melalui RMK-12 berkaitan kesejahteraan kesihatan ialah mempertingkatkan literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

"Sebagai jaminan kepada aspirasi yang mulia ini,kerajaan komited untuk menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan ANMS dapat dijayakan dan memberi manfaat sepenuhnya kepada Keluarga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, besarlah harapan saya agar seluruh Keluarga Malaysia memberikan sepenuh sokongan serta kerjasama yang erat untuk menjayakannya," katanya.

Sementara itu,dalam majlis tersebut, Tengku Zafrul turut menyampaikan sumbangan 20 buah kerusi roda bagi memanfaatkan para pesakit.

Beliau berkata, yakin pemberian ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh Pusat Hemodialisis NSCMH Dialysis Care cawangan Kuala Pilah ini untuk terus memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada komuniti di sini.