12 tong bahan kimia bertaburan atas jalan

Sebanyak 12 tong berisi bahan kimia terjatuh dari lori menyebabkan kebocoran dan tumpahan berlaku di Jalan Maxwell pada Rabu. - Foto Bomba Perak
Sebanyak 12 tong berisi bahan kimia terjatuh dari lori menyebabkan kebocoran dan tumpahan berlaku di Jalan Maxwell pada Rabu. - Foto Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Sebanyak 12 tong berisi muatan bahan kimia terjatuh dari lori menyebabkan berlaku kebocoran dan tumpahan di atas jalan raya di Jalan Maxwell dekat Taman Idris di sini pada Rabu.

Panggilan kecemasan kejadian itu diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pada jam 9.50 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh serta pasukan Unit Bahan Bahaya (Hazmat) ke tempat kejadian.

Ketua Operasi, Mohamad Fadzeli Che Husin berkata, operasi pengesanan yang dilakukan mendapati bahan kimia yang tumpah adalah sejenis asid.

Menurutnya, terdapat 12 tong berwarna biru yang kesemuanya berisi bahan kimia berada di atas jalan, namun hanya empat yang mengalami kebocoran.

"Tong tersebut berisi bahan kimia jenis pengkakis iaitu Bio Tergas AS 40, T-Gum AHG, Royol Process 250T dan Octowet 70D dengan setiap satu tong berkapasiti 205 kilogram.

"Pasukan Hazmat berjaya meneutralkan bahan tersebut dengan air dan memindahkannya ke tong asing sebelum diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan lanjut.

"Dalam kejadian ini, tiada mangsa yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, bagi memastikan keselamatan awam, anggota terlibat telah membuat penjarakan yang selamat di lokasi kejadian bagi memudahkan operasi pengasingan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerja-kerja pembersihan turut dilakukan bagi memastikan kawasan tumpahan itu bebas dan selamat daripada bahan kimia berkenaan.

"Semburan air dilakukan untuk menghilangkan kesan-kesan bahan kimia yang tumpah. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.29 tengah hari tadi," katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Rosli Zul berkata, aduan perkara itu diterima pada jam 11.30 pagi memaklumkan terdapat barang muatan dari lori milik sebuah kilang di Tasek terjatuh di kawasan itu.

"Pemilik barang berkenaan telah hadir ke lokasi. Setakat ini kawasan berkenaan telah dipastikan selamat dan neutral.

"Begitupun pemantauan daripada JAS akan diteruskan di lokasi kejadian untuk siasatan dan tindakan selanjutnya," katanya.