Tanah lapangan terbang: SPRM rakam percakapan tiga saksi

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merakam kenyataan tiga saksi berhubung kes penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar pada Rabu.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, tiga individu tersebut melibatkan pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan pegawai kerajaan negeri.

Menurutnya, proses siasatan masih diteruskan sehingga kini berdasarkan kajian terhadap dokumen yang diperoleh.

"Setakat hari ini tiada individu yang ditahan berhubung siasatan berkenaan.

"Kajian terhadap dokumen yang diperoleh masih dijalankan untuk memanggil saksi-saksi bagi membantu siasatan," katanya ringkas kepada Sinar Harian.

Mohd Fauzi pada 11 April memaklumkan bahawa suruhanjaya itu akan memanggil saksi-saksi mulai minggu ini bagi membantu siasatan.

SPRM telah memulakan siasatan pada 6 April lalu berhubung penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar itu susulan laporan yang dibuat bekas Exco kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi.

Siasatan itu dibuat bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Asmuni pada 5 April bersama tiga lagi bekas Exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing hadir ke Pejabat SPRM Perak bagi mengemukakan aduan rasmi berhubung isu tersebut.

Howard Lee pada sidang akhbar selepas itu menjelaskan tindakan tersebut dibuat bagi meminta siasatan lengkap dibuat terhadap isu tersebut memandangkan penjualan tanah dibuat tanpa melalui mesyuarat Exco seterusnya membersihkan nama PH.

Pemuda PH Perak juga turut membuat laporan polis bagi menggesa siasatan segera dilakukan ke atas penjualan tanah yang dicadang dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Ketua Pemuda PH negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, siasatan secara menyeluruh perlu agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membuat laporan polis berhubung perkara itu dan memberi jaminan kerajaan negeri akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Isu penjualan tanah lapangan terbang terbabit timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Saarani memaklumkan bahawa penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan terbabit.