Dua beranak didakwa abai, bunuh kanak-kanak

Khalid Redza (berbaju putih) dan anak perempuannya diiring polis ketika hadir di mahkamah.
Khalid Redza (berbaju putih) dan anak perempuannya diiring polis ketika hadir di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lalu.

Tertuduh, seorang peniaga, Khalid Redza Shuib, 41, dan anak perempuannya berusia 18 tahun hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama pada 3 Mac 2022 kira-kira kurang 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan di Seremban telah menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Khalid Redza turut didakwa membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, pada tarikh antara 15 Mac 2022 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama.

Bagi pertuduhan itu juga tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Selain itu di Mahkamah Sesyen di sini Khalid Redza didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, dengan cara menyimbah air panas sehingga kulitnya melecur yang dilakukan antara 1 Disember 2021 hingga 24 Mac 2022.

Pertuduhan bagi kes itu dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda serta sebat.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 melakukan kesalahan pengabaian Sufiy Hasrul Izwan, 20 bulan di lokasi sama pada 1 Disember 2020 hingga 23 Mac 2022.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan.

Mahkamah menetapkan kesemua pertuduhan berkenaan disebut semula pada 17 Mei ini dan tiada jaminan ditawarkan.

Dalam pada itu di Mahkamah Majistret, Khalid Redza mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang dilakukan di lokasi sama antara 1 Disember 2021 hingga 23 Mac 2022.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, pada 23 Mac itu, seorang doktor di Hospital Tuanku Jaafar di sini yang melakukan pemeriksaan terhadap wanita itu mendapati ada luka pelbagai peringkat dari luka baru sehingga yang telah sembuh menandakan luka melecur tersebut dialami berulang kali pada masa berbeza.

Selain itu luka melecur di bahagian belakang mangsa juga mempunyai bentuk bersegi-segi seolah-olah ditekap dengan objek panas selain turut mengalami patah tulang femur sebelah kanan dan mukanya mengalami luka-luka kecil.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tengkorak dan cebisan tulang rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan ditanam di kawasan belukar berhampiran tangki milik Pengurusan Air Berhad, di Taman Bukit Zamrud pada 7 April lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, tulang berkenaan ditemui jam 11 pagi selepas suspek lelaki utama kes penemuan mayat seorang wanita di Jalan Bukit Putus Lama pada 20 Mac lalu dan seorang saksi perempuan telah dibawa menunjukkan lokasi terbabit.