Amirudin umum bertanding jawatan Naib Presiden PKR

Amirudin (tengah) ketika sidang media di Kediaman Rasmi Datuk Menteri Besar Selangor, Seksyen 7, di sini pada Isnin.
Amirudin (tengah) ketika sidang media di Kediaman Rasmi Datuk Menteri Besar Selangor, Seksyen 7, di sini pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan dirinya bertanding untuk mendapatkan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan PKR tahun ini.

Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Gombak turut termasuk dalam 16 calon yang bertanding untuk jawatan tersebut dalam pemilihan kali ini.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat setelah berbincang dengan pimpinan negeri dan rakan-rakan seperjuangan dalam parti tersebut.

"Pada tahun 2005, saya mengambil keputusan untuk menyertai PKR dengan tekad untuk membawa obor reformasi dan menyumbang tenaga ke arah membina parti di setiap negeri seluruh negara.

"Sehingga kini, saya percaya bahawa PKR adalah platform paling tepat untuk menyatukan rakyat dari pelbagai latar belakang dan berpandangan pemilihan parti kali ini harus berlandaskan perjuangan idea, nilai, dan visi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Setelah berbincang dengan pimpinan negeri dan rakan-rakan seperjuangan PKR, saya dengan menawarkan khidmat saya dan bertanding untuk jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan akan datang," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Kediaman Rasmi Datuk Menteri Besar Selangor, Seksyen 7, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Amirudin turut mengulas tentang penyertaan Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador yang akan mencabarnya bagi jawatan Ketua Cabang PKR Gombak dan Naib Presiden PRK Selangor pada pemilihan parti itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun beliau berkata, ia bukan satu masalah kerana PKR merupakan parti demokratik dan diberi peluang untuk menampilkan bakat kepimpinannya terutama di Gombak.

"Beliau juga akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden PKR Selangor dan nampaknya dia suka dengan saya, ke mana sahaja saya pergi dia akan ikut.

"Ia bukan satu masalah kerana ini parti demokratik, semua mempunyai peluang untuk menampilkan (bakat) kepimpinan dan bagi saya di Gombak, kita telah memaparkan kesinambungan pasukan kemenangan hasil daripada kejayaan pada tahun 2008 hingga sekarang.

"Walaupun bekas ketua cabang kita atau ahli Parlimen kita keluar, tapi 80 peratus daripada kepimpinan PKR di Gombak meneruskan kepimpinan sebelum ini untuk mencapai kemenangan," katanya.