Kredit ePemula hanya untuk pembelian luar talian

Touch ‘n Go eWallet dan ShopeePay tawar baucar tambahan kepada belia yang menebus kredit ePemula di bawah perkhidmatannya.
Touch ‘n Go eWallet dan ShopeePay tawar baucar tambahan kepada belia yang menebus kredit ePemula di bawah perkhidmatannya.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua penyedia platform pembayaran tanpa tunai, Touch ‘n Go eWallet dan ShopeePay mengumumkan bahawa penggunaan kredit e-tunai berjumlah RM150 dalam program ePemula di bawah perkhidmatannya hanya akan membabitkan pembelian luar talian.

Perkara itu diumumkan oleh kedua penyedia perkhidmatan tersebut dalam dua kenyataan akhbar berasingan pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni berkata, belia yang layak menerima ePemula boleh menggunakan kredit yang diberikan antaranya untuk pembelian barangan keperluan belajar, makanan dan pakaian.

Katanya, penerima manfaat program tersebut juga turut bakal ditawarkan ganjaran baucar bernilai lebih RM200 daripada rakan niaganya.

“Baucar itu terdiri daripada lebih 25 jenama termasuk dalam talian, runcit, F&B, syarikat telekomunikasi dan pengangkutan seperti Starbucks, 7-Eleven, Lazada, Tealive, MR D.I.Y., Uniqlo, Hotlink, Firefly dan banyak lagi,” katanya.

Pada masa sama, Touch ‘n Go eWallet turut menyatakan bahawa kredit ePemula tidak boleh dipindah milik ke akaun eWallet lain dan digunakan bagi sebarang transaksi bersepadu aplikasi termasuk e-dagang, pembelian dalam talian, pembayaran bil, tambah nilai prabayar mudah alih, pembelian permainan, produk dan perkhidmatan kewangan, PayDirect, RFID dan pengeluaran tunai.

Sementara itu, ShopeePay memaklumkan bahawa belia yang menuntut kredit tersebut di bawah perkhidmatannya akan turut ditawarkan dengan baucar tambahan bernilai RM500 yang boleh digunakan termasuk untuk pembelian dalam talian pada aplikasi.

“Baucar Shopee tambahan RM500 akan terdiri daripada baucar ShopeePay bernilai RM90, Baucar ShopeeFood (RM310), baucar Shopee Mall (RM50) dan Baucar YA untuk SIM dan Data (RM50).

Artikel Berkaitan:

“Pakej ini disusun khas untuk menawarkan penjimatan lebih besar kepada belia untuk barangan seperti alat pembelajaran untuk pelajaran mereka, atau bekalan rumah dan keperluan penting,” menurut kenyataan itu.

ShopeePay turut memaklumkan bahawa tuntutan kredit ePemula bernilai RM150 boleh digunakan untuk transaksi luar talian di kedai dan rakan kongsinya di seluruh negara.

“Dengan pelbagai jenama popular yang menerima ShopeePay sebagai pilihan pembayaran, belia boleh mengharapkan banyak penjimatan bila berbelanja sepanjang Ramadan dan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Ia meliputi pelbagai jenama fesyen seperti JD Sports, Focus Point, Giordano, Elle, Common Sense dan juga kedai F&B seperti Taco Bell, KFC, Kyochon, myBurgerLab, CU Malaysia dan banyak lagi,” katanya.

Sebagai ganjaran tambahan, ShopeePay turut menyatakan bahawa belia yang menuntut ePemula di bawah perkhidmatannya boleh mengambil bahagian dalam #ShopeeEPEMULAsquad Challenge dan berpeluang memenangi beberapa hadiah menarik bernilai sehingga RM25,000.

Pada Ahad, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan yang layak boleh mendaftar untuk menerima RM150 dalam bentuk kredit e-tunai di bawah program ePemula, mulai 11 April.

Menurut MOF, pendaftaran boleh dilakukan melalui salah satu daripada empat aplikasi e-dompet terpilih iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.