Tebus nombor ekor: Warga emas rugi RM38,000

Jenny (kiri) bersama mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas diperdaya tiga lelaki menyebabkan kerugian lebih RM38,000.
Jenny (kiri) bersama mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas diperdaya tiga lelaki menyebabkan kerugian lebih RM38,000.
A
A
A

IPOH - Seorang wanita warga emas kerugian RM38,306.05 selepas diperdaya tiga lelaki termasuk seorang warga asing yang meminta bantuannya untuk menebus nombor ekor berjumlah RM500,000, Rabu lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Yong, 75, berkata, dia yang berada di hentian bas dihampiri seorang lelaki dipercayai warga Myanmar meminta bantuannya untuk menebus wang yang dimenanginya kerana tidak mempunyai Mykad.

"Dia menunjukkan kertas nombor ramalan dan meminta bantuan saya untuk menebus hadiah wang tunai itu sebelum didatangi seorang lelaki dalam usia 50-an yang mengesahkan bahawa lelaki itu telah menang wang tersebut.

"Ketika berbual, datang lagi seorang lelaki berusia 60-an menunjukkan surat khabar yang memaparkan nombor tersebut telah memenangi wang terbabit sebelum mereka membawa mangsa ke kedai nombor ramalan di Taman Cannning," katanya.

Dia ditemui dalam sidang akhbar bersama ADUN Canning, Jenny Choy Tsi Jen di Wisma Impian, Kampung Simee di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka memintanya sejumlah wang sebagai deposit bagi membuka satu akaun bank sebelum berjanji untuk mengganti semula wang tersebut apabila cek dimenanginya berjaya ditunaikan.

"Mereka menunjukkan cek yang dimenanginya. Mereka membawa saya ke sebuah bank di Taman Ipoh Selatan bagi mengeluarkan RM10,000 dengan menggunakan buku akaun dan menyerahkannya.

"Mereka menyatakan tidak cukup dan memerlukan RM40,000 untuk menyimpan deposit menyebabkan saya balik ke rumah untuk mengambil deposit tetap dan mengeluarkan RM28,306.05 di sebuah bank di Jalan Tun Sambanthan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Yong berkata, dia disedari ditipu apabila suspek bertindak meninggalkannya di hadapan sebuah kedai biskut di Pasar Besar Ipoh sebaik sahaja turun daripada kereta suspek.

"Pada awalnya, saya simpati dengan nasib mereka dan cuba membantu mereka. Lepas semua wang simpanan saya lesap, saya kesal dan terus membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam," katanya.

Sementara itu, Jenny Choy meminta pegawai bank untuk menyiasat serba sedikit terhadap pelanggan mereka terutama warga emas yang mengeluarkan wang dalam jumlah banyak.

"Jika mereka (pegawai bank) bertanya, kes-kes penipuan terutama melibatkan warga emas seperti ini dapat dihalang dari awal lagi," katanya.