Fahmi, Farhash tanding Naib Presiden PKR

Fahmi ketika ditemui pemberita di ibu pejabat PKR pada Isnin.
Fahmi ketika ditemui pemberita di ibu pejabat PKR pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak masing-masing mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu penggal 2022/2025.

Bercakap kepada pemberita selepas mengisi borang pencalonan, Fahmi menyatakan bahawa beliau gementar apabila mahu bertanding untuk jawatan berkenaan.

“Kalau sebelum ini saya selalu mengiring pimpinan yang lain, tetapi kali ini saya diiring. Harapan saya (adalah) untuk pertandingan yang sihat dengan meraikan demokrasi,” katanya di ibu pejabat PKR pada Isnin.

Pengarah Komunikasi PKR itu menambah, sekiranya dipilih sebagai Naib Presiden, beliau akan berusaha untuk mengukuhkan struktur parti.

“(Bagi) memastikan bahawa segala yang telah berlaku selepas Langkah Sheraton itu bukan sahaja kita bersihkan tetapi kita bina yang lebih baik daripada yang dahulu,” katanya.

Menurutnya, pemilihan parti itu kali ini juga merupakan suatu peluang yang baik untuk pimpinan dan akar umbi mengukuhkan saf.

“Di samping kita bercakap soal pemilihan, kita juga mengaktifkan akar umbi untuk berhadapan dengan kemungkinan pilihan raya pada bila-bila masa,” jelasnya.

Sementara itu, Farhash Wafa pula menyatakan beliau akan memberikan saingan yang terbaik bagi jawatan Naib Presiden PKR selain cuba memberikan servis kepada parti dan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyatakan bahawa tidak bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden seperti yang diumumkannya sebelum ini adalah bagi memberi laluan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertanding jawatan tersebut melawan Naib Presiden, Rafizi Ramli.

“Sebenarnya banyak sokongan daripada akar umbi meminta saya pergi ke Timbalan Presiden.

“Macam kenyataan media saya sebelum ini saya bagi laluan kepada Saifuddin Nasution untuk bertanding Timbalan Presiden melawan Rafizi Ramli,” ujarnya.

Beliau turut mengumumkan memberikan sokongan kepada bekas aktivis mahasiswa, Adam Adli dan pengamal undang-undang, Senator Fadhlina Sidek yang masing-masing bertanding untuk jawatan Ketua AMK dan Ketua Wanita.