Sembilan sampel anjing negatif rabies

Sembilan sampel yang diambil dari anjing berkeliaran di dalam kawasan satu kilometer radius kes indeks di daerah Petaling didapati negatif virus rabies. - Gambar hiasan
Sembilan sampel yang diambil dari anjing berkeliaran di dalam kawasan satu kilometer radius kes indeks di daerah Petaling didapati negatif virus rabies. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sembilan sampel yang diambil dari anjing berkeliaran di dalam kawasan satu kilometer radius kes indeks di daerah Petaling didapati negatif virus rabies.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam kenyataannya pada Isnin memaklumkan, persampelan itu menggunakan teknik ujian Direct Fluorescent Antibody Test (DFAT).

"DVS akan terus mengaktifkan survelan dan persampelan di kalangan anjing berkeliaran di daerah Petaling untuk mengesan virus rabies," katanya.

Menurut jabatan itu, sehingga kini, tiada aduan melibatkan kematian anjing dijangkiti rabies atau menjurus kepada tanda klinikal rabies di negeri tersebut.

"Orang awam dinasihatkan supaya segera melaporkan ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar yang terdekat jika terdapat perubahan tingkah laku pada anjing sama ada menjadi agresif atau dungu," katanya.

Ujar DVS, kes gigitan anjing perlu segera dilaporkan ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar dan mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

"DVS menasihatkan orang awam tidak panik dan memberi kerjasama kepada jabatan ini dalam menangani kes rabies di kalangan haiwan," katanya.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Selangor mengesahkan kematian seorang lelaki tempatan berusia 40an pada 10 Mac lalu adalah disebabkan jangkitan rabies.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu disahkan selepas ujian makmal bagi spesimen otak didapati positif virus rabies.

Lelaki itu meninggal dunia di rumahnya sebelum mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.