Budak lelaki 9 tahun rentung

Pasukan bomba berada di lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Tanjung Labian Sungai Bilis, Lahad Datu.
Pasukan bomba berada di lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Tanjung Labian Sungai Bilis, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Tanjung Labian Sungai Bilis, di sini, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Abu Bakar Ash Siddiq Rajesh, 9, dipercayai terperangkap di dalam salah sebuah rumah sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan rentung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Samsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.05 pagi.

Katanya, seramai tiga anggotanya bersama lima anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Felda Sahabat dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 120 kilometer dari BBP Lahad Datu.

"Sebaik tiba, terdapat dua rumah jenis tidak kekal musnah akibat kebakaran namun pasukan bomba tidak melakukan tindakan pemadaman kerana api sudah dipadam sepenuhnya oleh PBS Felda Sahabat.

"Gerakan mencari dan menyelamat mangsa segera dilakukan sebelum menemui mangsa kanak-kanak dalam keadaan rentung dan mengikut pemerhatian awal, mayat mangsa berada di kedudukan bahagian ruang tamu rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya lagi, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang tidur di ruang tamu manakala kakaknya berada di dalam bilik.

"Hasil siasatan awal mendapati, kebakaran bermula dari dapur bahagian bawah rumah utama.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa berada di ruang tamu dan sedang tidur manakala kakaknya berada di dalam bilik dan nenek mereka pula berada di rumah lain. Ibu dan bapa mangsa ketika itu pula keluar menghantar salah seorang anak mereka ke sebuah sekolah di Felda Sahabat 16.

"Ketika kejadian berlaku, kakak mangsa tidak mengetahui keadaan sebenar kerana rumah mereka sudah dipenuhi asap menyebabkan mangsa terperangkap," katanya.

Katanya lagi, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 2.40 petang.