Kedai emas agih ikan kembung, beras kepada B40, OKU

Pemilik kedai emas, Mohd Zanizan Shahril, 40, (dua dari kanan) mengedarkan sekampit beras dan sekilo ikan kembung kepada Zalmiah Hashim, 64, (berkerusi roda) secara percuma pada Program Kongsi Rezeki Ramadan di Ipoh pada Sabtu. - Foto Bernama
Pemilik kedai emas, Mohd Zanizan Shahril, 40, (dua dari kanan) mengedarkan sekampit beras dan sekilo ikan kembung kepada Zalmiah Hashim, 64, (berkerusi roda) secara percuma pada Program Kongsi Rezeki Ramadan di Ipoh pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Keuntungan perniagaan yang diperoleh mendorong sebuah kedai emas terkemuka di sini, berkongsi rezeki dengan mengagihkan ikan kembung dan beras, masing-masing seberat satu tan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan B40, pada Sabtu.

Jurucakap kedai emas tersebut, Mohd Salorwadi Mohd Nor, 47, berkata, pemberian keperluan asas itu sedikit sebanyak dapat membantu golongan tersebut, dalam berhadapan ketidaktentuan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi.

"Kebiasaannya, orang akan memberi sumbangan berbentuk wang ringgit, tetapi kami memilih untuk memberi barangan keperluan asas, kerana lebih menyenangkan orang ramai untuk terus memasak tanpa perlu pergi ke kedai atau pasar raya.

"Di kawasan bandar seperti ini, ramai sebenarnya yang menghadapi kesukaran untuk membeli barangan keperluan asas akibat harga barang yang meningkat saban hari,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengagihan tersebut di sini pada Sabtu.

Afiq Quraimi Mohd Hafizi, 10, (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya menunjukkan sekampit beras dan sekilo ikan kembung yang diterima mereka secara percuma. - Foto: Bernama
Afiq Quraimi Mohd Hafizi, 10, (dua dari kanan) bersama rakan-rakannya menunjukkan sekampit beras dan sekilo ikan kembung yang diterima mereka secara percuma. - Foto: Bernama

Pemerhatian Bernama mendapati orang ramai mulai beratur seawal jam 7.30 pagi, walaupun pengagihan bermula jam 10 pagi, dan dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Malah ada penerima yang menitiskan air mata dan mengucapkan terima kasih kepada penganjur, sebaik menerima bantuan yang kesemuanya selesai diagihkan kira-kira jam 1 petang.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan daripada komuniti OKU, Zalmiah Hashim, 64, bersyukur dan gembira dengan sumbangan tersebut, yang sedikit sebanyak meringankan beban pada waktu sukar seperti sekarang.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tempoh penularan Covid-10, kami menghadapi kesukaran untuk mencari wang bagi membeli barangan dapur dan dengan adanya pemberian sebegini, sudah tentu ia sangat membantu,” katanya yang hadir bersama ibunya.

Seorang peniaga sayur yang lumpuh separuh badan sejak kecil, P Karnaki, 63, berkata, dia mengetahui mengenai program tersebut dari rakan serumahnya, dan berasa gembira menerima pemberian tersebut yang diletakkan penganjur di dalam motosikal khasnya. - Bernama