PM perlu pandang serius kenaikan harga barang: Wan Saiful

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memandang serius isu kenaikan harga barang dan tidak membiarkan fenomena itu berterusan.

Beliau berkata, memberi arahan kepada agensi atau kementerian sahaja tidak cukup, sebaliknya perlu terlibat secara langsung bagi memastikan harga barangan tidak menjadi di luar kawalan.

“Sepanjang minggu ini setiap hari saya menyantuni rakyat melalui program-program kebajikan di kampung-kampung serta melalui walkabout di bazar-bazar Ramadan di Jitra dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Setiap kali saya bertemu mereka, satu perkara yang tidak pernah lekang dari percakapan ialah betapa kenaikan harga barang menekan kehidupan harian rakyat biasa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Sabtu.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas juga perlu dilakukan sekiranya ada peniaga yang mengambil kesempatan.

Menurutnya, pasukan penguat kuasa mesti digerakkan dengan sepenuhnya untuk memantau fenomena harga barangan dan mengambil tindakan segera apabila perlu.

“Pada masa sama, usaha untuk membina semula ekonomi juga perlu dijadikan tumpuan.

“Kita perlu memastikan rakyat biasa dapat menjalankan dan mempergiat kegiatan ekonomi harian supaya mereka mempunyai peluang untuk mampu menyara kehidupan.

Artikel Berkaitan:

“Perhatian kerajaan mestilah ditumpukan kepada rakyat, bukan ‘bail out’ syarikat konsesi besar atau mencipta peraturan yang memberi untung berganda kepada syarikat terkait keluarga kluster mahkamah,” katanya.