JKPPH kesal set soalan SPM 2021 sama dengan sesi sebelum

KPM akan meneliti laporan daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia sebelum sebarang tindakan diambil susulan dakwaan penggunaan set soalan SPM 2021 yang sama untuk sesi kedua peperiksaan yang bermula pada Khamis. (Kanan: Kenyataan media yang dikeluarkan JKPPH.)
KPM akan meneliti laporan daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia sebelum sebarang tindakan diambil susulan dakwaan penggunaan set soalan SPM 2021 yang sama untuk sesi kedua peperiksaan yang bermula pada Khamis. (Kanan: Kenyataan media yang dikeluarkan JKPPH.)
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) meluahkan rasa kesal susulan dakwaan penggunaan set soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang sama untuk sesi kedua peperiksaan yang bermula pada Khamis.

JKPPH dalam satu kenyataan berkata, pihaknya merasa gusar terhadap kesiapsiagaan yang dilakukan KPM dalam menguruskan proses pendidikan dan penilaian semasa pandemik Covid-19.

“Keluhan meluas dalam kalangan ibu bapa pelajar perihal adilkah calon SPM sesi ulangan mendapat soalan yang sama dijawab oleh calon SPM sebelumnya sedangkan maklumat soalan-soalan tersebut telah pun tersebar kepada umum yang boleh mendatangkan kelebihan kepada calon SPM ulangan?

“Jika sebelum-sebelum ini, LPM (Lembaga Peperiksaan Malaysia) akan menyediakan soalan lain untuk digunakan jika berlaku perubahan secara ad-hoc kepada calon SPM yang tidak boleh mendudukinya seperti jadual biasa, mengapa kaedah yang sama tidak diguna pakai tahun ini?” menurut kenyataan itu.

Anggota JKPPH termasuk Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik selaku pengerusi, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.

Turut sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai dan Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju Naidu.

Kenyataan itu memaklumkan, beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh LPM dan KPM bagi mengelakkan situasi itu berulang, antaranya LPM harus bersedia menyediakan soalan yang mencukupi pelbagai edisi.

Ia memandangkan situasi semasa menyebabkan ada calon yang perlu menduduki SPM sesi ulangan.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu lagi, LPM dan KPM juga harus memberi jaminan kepada umum berkaitan soalan yang sama digunakan tersebut tidak bocor dan masih kekal sulit buat calon SPM ulangan.

“Akhirnya JKPPH menganggap KPM khususnya Menteri Kanan Pendidikan gagal mengambil perhatian secara serius proses pendidikan era pandemik ini yang pastinya mempengaruhi nasib anak-anak kelak,” menurut kenyataan itu.