Aminuddin umum tanding Ketua Cabang PKR Port Dickson

Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar diadakan di sebuah hotel di Port Dickson.
Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar diadakan di sebuah hotel di Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan akan merebut jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson pada pemilihan parti itu kali ini.

Pengumuman berkenaan sekali gus menyaksikan Aminuddin yang merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan akan mencabar Timbalan Pengerusi PKR negeri, Datuk M Ravi.

Ravi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung dan Timbalan Speaker telah menyandang jawatan itu sejak tahun 1999.

Aminuddin berkata, keputusannya bertanding Ketua Cabang Port Dickson untuk berkhidmat kepada kampungnya di Port Dickson dan merasai suasana baharu.

"Saya selalu ingatkan ini merupakan pemilihan dalam kekeluargaan yang mana saya harap selepas selesai pemilihan, kita kembali bertaut semula sebagai satu pasukan yang dapat menguatkan parti itu sendiri.

"Saya berharap tiada serangan peribadi antara kita kerana ia akan beri kesan tidak baik yang panjang dan akhirnya akan merosakkan hubungan baik selama ini," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Beliau juga mengakui keputusannya bertanding Ketua Cabang Port Dickson akan menyaksikan pertembungan antara pemimpin tertinggi parti itu di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun beliau berharap ahli parti memahami kerana ia adalah amalan demokrasi dan biasa berlaku dalam mana-mana parti.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin turut menafikan keputusannya berpindah ke Port Dickson dan bertanding Ketua Cabang kerana lemah di Cabang Tampin.

"Saya sebenarnya lebih selesa di Tampin. Kehadiran mesyuarat saya lebih tinggi berbanding kawasan lain.

"Tujuan saya dulu ke Tampin untuk memperkuatkan parti di sana dan sekarang sudah ada kekuatan di beberapa kawasan," katanya.

Ujarnya, tidak menjadi masalah untuk sesiapa berpindah ke tempat lain bagi tujuan menguatkan parti berbanding untuk terus kekal di satu kawasan.

"Ada orang takut nak keluar dari tempat dia, itu yang saya risau. Sepatutnya kita jaga satu negeri, semua tempat.

"Kita tidak boleh duduk satu tempat dan perlu sentiasa lihat ke hadapan. Jangan bila kita jadi Ketua Cabang, kita jadi selesa kerana menganggap semua sokong," katanya.

Aminuddin berkata, pertandingan dalam parti adalah perkara baik kerana jika tidak, parti melihat pemimpin yang sama sahaja.

Dalam pada itu ditanya sama ada beliau akan bertanding di peringkat MPP, Aminuddin berkata, masih belum membuat keputusan dan ia dalam perbincangan.

"Saya masih memikirkan kerana ada cadangan dari rakan-rakan minta bertanding jawatan tertentu dan ada juga kata tidak perlu, itu antara yang akan saya pertimbangkan," katanya.

Aminuddin yang sebelum ini merupakan Ketua Cabang PKR Tampin sejak 2018 telah mengesahkan berpindah keahliannya dalam parti ke Cabang Port Dickson sejak akhir Januari lalu.