Kepastian kerajaan Arab Saudi cukup bermakna: Idris

Hantaran Facebook Idris pada Sabtu. Gambar kecil: Idris
Hantaran Facebook Idris pada Sabtu. Gambar kecil: Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyifatkan kepastian untuk menunaikan ibadah haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi cukup memberi makna kepada semua umat Islam.

Menurutnya, jaminan untuk melaksanakan ibadah haji ternyata semakin bersinar dengan pengumuman daripada kerajaan Arab Saudi itu setelah dua tahun menanti.

“Pastinya berita ini benar-benar menggembirakan semua umat Islam yang telah menantikan dengan penuh sabar untuk melaksanakan ibadah rukun Islam kelima ini.

“Pihak Lembaga Tabung Haji (TH) akan segera memaklumkan kepada saya apabila kuota haji bagi negara kita dimaklumkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi sedikit masa lagi,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Idris berkata, TH juga telah bersiap sedia untuk memastikan segala kelancaran ibadah haji kepada bakal-bakal jemaah Malaysia.

“Kita hanya tinggal untuk mendapatkan kuota dan segalanya pasti akan dijalankan dengan paling baik,” katanya.

Pada Sabtu, kerajaan Arab Saudi memutuskan untuk membenarkan satu juta umat Islam di bawah usia 65 tahun dari dalam dan luar negara itu menunaikan haji pada tahun ini.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata, jumlah maksimum itu dibuat bagi memelihara keselamatan jemaah serta pengunjung Masjid Nabawi susulan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, jumlah jemaah menunaikan haji daripada negara tertentu adalah mengikut kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara dengan mengambil kira pematuhan semua cadangan kesihatan.