Aset udara ditambah cari tiga penyelam warga Eropah hilang

Operasi pencarian menerusi aset udara akan diperluaskan sehingga ke perairan Sedili, Kota Tinggi.
Operasi pencarian menerusi aset udara akan diperluaskan sehingga ke perairan Sedili, Kota Tinggi.
A
A
A

MERSING - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi warga Eropah yang hilang ketika melakukan latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol di sini, pada Rabu masih belum menunjukkan penemuan baharu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, usaha itu bagaimanapun akan diteruskan dengan penambahan aset udara bagi meluaskan lagi kawasan pencarian.

Beliau berkata, penambahan aset udara berkenaan akan merangkumi jangkauan kawasan pencarian seluas 739 batu nautika dari lokasi kejadian.

“Ada tambahan aset yang kita gerakkan iaitu pesawat Bombardier Maritim, maknanya kita akan ada ketahanan (endurance) di laut lebih panjang dan meliputi kawasan lebih luas.

"Jadi kita harapkan dengan tambahan pesawat, jangkauan pencarian akan lebih jauh dan kemungkinan jumpa mangsa lebih tinggi," katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing di sini, pada Jumaat.

Pada Khamis, salah seorang penyelam yang juga wanita warga Norway berusia 35 tahun ditemukan dalam keadaan selamat dan telah dibawa menerima rawatan di Pengkalan Hadapan Carilamat di Bandar Mersing melalui aset udara.

Pencarian masih diteruskan terhadap tiga lagi penyelam yang merupakan dua warga Britain dan seorang wanita warga Belanda.

Anggota Maritim Malaysia masih membuat pemantauan bagi mengesan mangsa di sembilan pulau-pulau lain di Mersing.
Anggota Maritim Malaysia masih membuat pemantauan bagi mengesan mangsa di sembilan pulau-pulau lain di Mersing.

Artikel Berkaitan:

Nurul Hizam berkata, sehingga kini SAR yang dilakukan adalah melibatkan empat pesawat udara melibatkan dua helikopter milik Maritim Malaysia, satu milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu lagi milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dalam pada itu, beliau berkata, Op SAR yang diadakan pada Jumaat juga telah diperluaskan ke arah selatan yang mana menghala ke perairan Sedili.

"Aset udara turut melakukan penerbangan di kawasan pulau dan memantau kalau ada sebarang tanda kemungkinan mangsa terselamat.

"Pencarian juga dilakukan melibatkan sembilan pulau yang ada di Mersing. Keadaan cuaca juga agak baik pada hari ini dengan ketinggian ombak sekitar 0.5 hingga satu meter yang mana memberi peluang tinggi untuk menemui mangsa,” katanya.