Hina polis, Ain Singa ditahan

Suzaimi
Suzaimi
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang wanita yang dikenali sebagai Ain Singa ditahan polis selepas membuat hantaran berbaur hinaan melalui ruangan komen di Facebook terhadap seorang anggota trafik.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, wanita berusia 19 yang sudah berkahwin itu meninggalkan komen menghina melalui Facebook 'Kuala Krai Kini' selain memuat naik gambar seorang polis trafik sedang menjalankan tugas dengan kapsyen 'Salam Jumaat.Duk memukat duit BKM ke tu? area wisma koya'.

"Pemilik akaun Facebook itu dilihat sengaja melontarkan hinaan melalui ruangan komen dengan niat mencemarkan imej polis," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, selepas menerima satu laporan, polis menahan pemilik akaun Facebook itu untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Suzaimi menegaskan bahawa anggota polis trafik yang dimaksudkan ialah sebahagian daripada kekuatan penugasan Snap Check Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Krai yang sedang bertugas di jalan Ah Sang, Kuala Krai pada 1 April lalu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen dan maklumat salah, tidak beretika dan berhemah melalui aplikasi media sosial demi kesejahteraan semua pihak.

"Orang ramai boleh melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima atau mengesan sebarang kenyataan yang meragukan," katanya.

Artikel Berkaitan: