Sindiket dadah terbesar tumpas dengan kematian Pendi Buaya, Nuar Taman

Laporan Sinar Harian pada 5 April 2020. (Gambar kecil: Rohaimi)
Laporan Sinar Harian pada 5 April 2020. (Gambar kecil: Rohaimi)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di Terengganu berikutan kematian dua suspek dalam kejadian tembak-menembak di Kampung Wakaf Beruas, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dua penjenayah itu dikenali sebagai Pendi Buaya berusia 25 tahun berasal dari Kuala Terengganu manakala seorang lagi digelar Nuar Taman, 29, dari Marang.

Beliau berkata, polis turut merampas dua pucuk pistol, peluru, 20 peket dadah jenis syabu seberat lebih 1,000 gram (g) dan 14 botol kecil heroin seberat lebih 67 gram di dalam kereta suspek.

"Kedua-dua suspek mempunyai 11 dan lapan rekod jenayah lampau serta aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah di sebahagian besar Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Besut dan kawasan felda sejak 10 tahun lalu.

"Selain itu, suspek turut menjalankan kegiatan pengedaran dadah ke beberapa negeri lain antaranya Selangor," katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Terengganu dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Terengganu di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Rohaimi berkata, kedua-dua penjenayah itu merupakan suspek utama bagi kes tembak seorang lelaki di Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu pada 5 Mac lalu.

Katanya, hasil siasatan mendapati punca kematian lelaki berkenaan juga berkaitan urusan dadah.

Selasa lalu, dua penjenayah ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu berlaku ketika pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu dan Bukit Aman melakukan rondaan Op Kesan sebelum terserempak dengan sebuah kereta Honda Civic yang memandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Wakaf Beruas, di sini.