Rusia tolak dakwaan mahu bunuh Presiden Ukraine

Volodymyr Zelensky - Foto AFP
Volodymyr Zelensky - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Rusia menolak dakwaan bahawa ia mempunyai rancangan untuk membunuh pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelenskyy atau memecatnya daripada memegang jawatan itu, kata Jurucakap Moscow, Dmitry Peskov pada Rabu.

“Tidak, ini tidak benar,” jawab Peskov seperti dilaporkan saluran berita Rusia, RT.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai spekulasi bahawa Moscow mahu Zelensky dibunuh semasa diwawancara dengan saluran berita Perancis, LCI.

Peskov juga menegaskan bahawa perubahan rejim di negara jiran itu bukanlah antara matlamat operasi ketenteraan Rusia di Ukraine.

Zelenskyy ialah Presiden Ukraine, kata Peskov dan apa yang Moscow mahu daripadanya ialah beliau bersetuju dengan tuntutan yang dikemukakan oleh delegasi Rusia semasa rundingan damai diadakan.

“Melalui rundingan itu, kami mahu menamatkan operasi ketenteraan,” kata Peskov.

Pusingan rundingan bersemuka terkini antara delegasi dari Moscow dan Kiev berlangsung di Istanbul, Turki sebelum ini.

Moscow menyerang jirannya, Ukraine pada akhir Februari lalu berikutan kegagalan negara tersebut untuk melaksanakan syarat-syarat dalam Perjanjian Minsk pada tahun 2014 dan pengiktirafan Rusia terhadap Republik Donbass di Donetsk dan Republik Lugansk.

Artikel Berkaitan:

Rusia turut menuntut Ukraine secara rasmi mengamalkan sikap berkecuali dan tidak akan sekali-kali menyertai blok tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang diketuai Amerika Syarikat (AS). - Agensi