Lapan unit kedai di Jalan Alsagoff terbakar

Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran lapan unit kedai di Jalan Alsagoff Pontian pada Rabu. (Gambar Kecil :Khadijah)
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran lapan unit kedai di Jalan Alsagoff Pontian pada Rabu. (Gambar Kecil :Khadijah)
A
A
A

PONTIAN - Peniaga di Jalan Alsagoff di sini diuji pada hari keempat Ramadan apabila kedai diusahakan mereka musnah dalam kebakaran kira-kira jam 4.30 petang pada Rabu.

Kebakaran melibatkan premis menjual barangan persiapan haji dan umrah, kedai tudung, basikal serta bengkel motosikal.

Pekerja kedai tudung, Khadijah Misnon, 21, berkata, api marak begitu cepat menyebabkan stok tudung yang diletakkan di dalam stor tidak sempat diselamatkan.

Menurutnya, kejadian disedari selepas dimaklumkan oleh pemilik kedai barangan haji dan umrah, Normah Adam, 66, yang memintanya segera menghubungi pihak bomba.

"Jiran di kedai bersebelahan (Normah) beritahu terdengar bunyi letupan kuat, tidak lama selepas itu saya dan dua lagi rakan, Farah Najwa Kamaruz Zaman,19, dan Izza Irdina Mohd Hakim,19, nampak asap.

"Kami cuba selamatkan barang di dalam kedai dan turut dibantu orang awam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu Noratika Tik, 24, yang merupakan cucu kepada Normah memberitahu neneknya masih lagi trauma dengan kejadian kebakaran yang berlaku itu.

Katanya, neneknya sudah mengusahakan kedai terbabit sejak 12 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Stok barang persiapan umrah dan haji seperti songkok, kurta, selipar, kain, tudung serta telekung yang baharu dibeli dan diletakkan di dalam kedai kebanyakannya hangus.

"Hanya sedikit yang dapat diselamatkan dan kerugian dianggarkan lebih kurang RM50,000," katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Jalan Alsagoff, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Azhar Abd.Jalil berkata, seramai 24 anggota bomba dari BBP Pontian, Pekan Nanas dan Pontian Baru bersama tiga jentera dan sebuah lori tangki dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.47 petang.

Katanya, kebakaran melibatkan lapan unit bangunan rumah kedai yang berusia lebih 40 tahun.

"Api marak dengan cepat memandangkan bangunan itu dibina daripada kayu dan batu.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku, punca kebakaran masih disiasat," katanya.