Pep puji persembahan City tewaskan Atletico

De Bruyne meraikan jaringannya ketika bantu City tewaskan Atletico di Stadium Etihad awal pagi Rabu.
De Bruyne meraikan jaringannya ketika bantu City tewaskan Atletico di Stadium Etihad awal pagi Rabu.
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola memuji persembahan yang ditampilkan pasukannya ketika menewaskan Atletico Madrid 1-0 di Stadium Etihad awal pagi Rabu.

Menurut Guardiola, meskipun mengakui skuad kendalian Diego Simeone sebagai sebuah pasukan yang kuat, namun anak buahnya berjaya beraksi dengan baik sekaligus berjaya mendapatkan bekalan gol untuk di bawa ke Wanda Metropolitano Stadium bagi aksi timbal balik kedua minggu hadapan.

"Mereka (Atletico) bertahan dengan baik, padat dan kental. Kami pula bermain dengan sabar dan berjaya untuk mendapatkan gol.

"Apabila berdepan pasukan seperti ini, mereka akan menggunakan taktik sedemikian kerana mahu lawannya merasa bimbang.

"Ia adalah keputusan yang baik. Malangnya, kami ada beberapa peluang lagi yang sepatutnya berjaya disempurnakan," kata Guardiola.

Pada perlawanan tersebut, City dilihat agak buntu untuk mendapatkan jaringan selepas lawan mereka Atletico memperagakan corak pertahanan mantap yang menyaksikan tiada sebarang gol dihasilkan pada babak pertama.

Bagaimanapun, percaturan Guardiola yang memasukkan Phil Foden pada separuh masa kedua nyata membuahkan hasil apabila pemain muda England itu menjadi pencetus gol tunggal perlawanan.

Hantaran tepat Foden membolehkan De Bruyne meledak gol tunggal permainan yang memberi bekalan tipis buat City menjelang aksi timbal balik di Madrid minggu depan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Simeone menggesa anak buahnya bangkit pada aksi timbal balik kedua yang dijadualkan berlangsung 13 April ini.

Jelas Simeone, dia yakin pasukannya mampu mengatasi defisit gol tersebut sekaligus melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

"Kami perlu tampil lebih baik pada aksi kedua nanti yang mana banyak perkara perlu diberi perhatian menjelang aksi tersebut.

"Bagaimanapun, saya yakin pasukan mampu untuk menewaskan mereka sekaligus mara ke peringkat separuh akhir," katanya.