Dua lelaki terbunuh berbalas tembakan dengan polis

Unit Forensik Polis Diraja Malaysia melakukan pemeriksaan pada kenderaan yang terlibat dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Simpang Tokku pada Selasa. - Foto Bernama
Unit Forensik Polis Diraja Malaysia melakukan pemeriksaan pada kenderaan yang terlibat dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Simpang Tokku pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes dadah dan jenayah, terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis di Kampung Simpang Tokku, di sini pagi Selasa.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan berkata, dalam insiden kira-kira 11.30 pagi tadi, kedua-dua lelaki itu yang menaiki kereta Honda Civic kuning, melarikan diri ketika ditahan pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan JSJ Bukit Aman yang sedang melakukan rondaan Ops Kesan.

"Apabila pihak polis meminta suspek memberhentikan kenderaan, suspek telah melarikan diri dengan kenderaan tersebut. Apabila sampai di satu kawasan daripada Wakaf Beruas ke Persimpangan Tok Ku, polis berjaya menghalang mereka dan secara tiba-tiba, salah seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan ke arah polis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Selasa.

Wan Rukman berkata, susulan itu pihaknya terpaksa membalas tembakan ke arah kedua-dua lelaki berkenaan, sebelum seorang daripada mereka melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah kosong berhampiran.

Anggota polis mengawal di luar rumah kosong selepas salah seorang suspek terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis di Kampung Simpang Tokku pada Selasa. - Foto Bernama
Anggota polis mengawal di luar rumah kosong selepas salah seorang suspek terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan pihak polis di Kampung Simpang Tokku pada Selasa. - Foto Bernama

Katanya, suspek yang melarikan diri itu berjaya dikepung, namun dia enggan menyerah diri menyebabkan polis mengambil tindakan memasuki rumah tersebut.

"Semasa di dalam rumah, suspek telah melepaskan satu das tembakan. Nasib baik terkena penghadang atau shield yang dibawa polis dan di situlah berlaku satu lagi kejadian tembak-menembak antara polis dan suspek,” katanya.

Wan Rukman berkata, lelaki itu terbunuh di dalam rumah tersebut manakala seorang lagi rakannya maut dalam kenderaan dinaikinya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan dan maklumat lanjut mengenai mereka masih disiasat.

Katanya, tiada anggota polis mengalami kecederaan dalam insiden tersebut. - Bernama