Jurukimia rugi RM30,000 ditipu Macau Scam

Sundra Rajan
Sundra Rajan
A
A
A

MELAKA - Seorang jurukimia diperdaya sindiket Macau Scam hingga kerugian RM30,000 selepas menyerahkan maklumat bank kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, wanita berusia 37 tahun itu dihubungi menerusi telefon oleh suspek yang menyamar kononnya dari sebuah bank dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan 'coin base' berjumlah RM4,663.

"Suspek memaklumkan terdapat transaksi menggunakan nama mangsa dan kemudian disambungkan (talian) kepada wakil 'Bank Negara' untuk tujuan kemas kini maklumat peribadi.

"Kemudian disambungkan (talian) lagi kepada seorang individu yang mengaku sebagai pegawai polis yang meminta mangsa menyerahkan maklumat akaun bank. Mangsa tanpa rasa curiga memberikan kata laluan bank miliknya beserta Nombor TAC kepada suspek," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Menurut Sundra Rajan, selepas urusan tersebut mangsa membuat semakan ke atas akaun bank miliknya dan mendapati berlaku pengeluaran wang berjumlah RM30,000.

"Mangsa membuat laporan polis di Balai Ayer Keroh pada Sabtu lalu. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu," katanya.

Artikel Berkaitan: