AS mahu dapat undi singkirkan Rusia dari Majlis Hak Asasi Manusia PBB

Ned Price - Foto: AFP
Ned Price - Foto: AFP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengumumkan akan mendapatkan undian dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyingkirkan Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia.

Pengumuman itu dibuat susulan video dan gambar yang didakwa menunjukkan kekejaman dilakukan tentera Rusia.

"Kami tidak boleh membiarkan negara anggota mencacatkan setiap prinsip yang kami pegang dan tidak sepatutnya gunakan kerusinya dalam majlis itu sebagai alat propaganda," lapor Agensi Anadolu memetik jurucakap Jabatan Negara, Ned Price.

Ahli majlis itu boleh disingkirkan jika mendapat undian dua pertiga dalam Perhimpunan Agung jika sesebuah negara didapati terlibat dalam 'penderaan kasar dan sistemik'.

Sekurang-kurangnya 410 mayat orang awam ditemukan di bandar Bucha pada Ahad, menurut ketua pendakwa raya Ukraine.

Rusia telah menafikan tenteranya terlibat dalam pembunuhan orang awam semasa berundur dari bandar itu.

Ukraine dilaporkan menggesa organisasi antarabangsa menghantar pakar ke negara itu secepat mungkin bagi mengumpul bukti jenayah perang.

Terdahulu pada Isnin, Presiden Joe Biden menggesa Presiden Vladimir Putin dikenakan tindakan kerana kesalahan melakukan jenayah perang dan beliau 'harus bertanggungjawab.' - Bernama

Artikel Berkaitan: