Padah tunda bot kurang 15 batu nautika dari pesisir pantai

Bot bersama hasil tangkapan ikan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut. - Foto Maritim Malaysia
Bot bersama hasil tangkapan ikan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah bot pukat tunda tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah kerana melanggar syarat sah lesen dengan menunda kurang 15 batu nautika dari pesisir pantai di Kuala Tebengau, dekat sini pada awal pagi Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim, Noor Azreyanti Ishak berkata, bot tersebut ditahan sekitar jam 4.15 pagi bersama lima kru termasuk tekong yang kesemuanya warga tempatan berusia diantara 33 hingga 46 tahun.

Menurutnya, mereka didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 dan mengikut rekod, bot terbabit pernah ditahan atas kesalahan yang sama oleh Maritim Malaysia pada tahun 2019.

"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka akan didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bot bersama hasil tangkapan yang dianggarkan sebanyak dua tan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Noor Azreyanti berkata, pengusaha bot nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

Jelasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

"Maritim Malaysia akan terus bertegas serta komited dalam melakukan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung sebarang aktiviti jenayah yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut.

Aduan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah ditalian 04-7310579.